Home Politik CEC DAP: Bekas ahli mahu polis jalankan ujian forensik

CEC DAP: Bekas ahli mahu polis jalankan ujian forensik

Bekas Ahli DAP, Tony Tan (kiri) bercakap pada sidang media mengenai laporan polis terhadap CEC DAP dan Grand Thornton di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2017

PETALING JAYA – Bekas ahli DAP, Tan Chee Chong hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya, di sini terhadap DAP dan firma audit antarabangsa, Grand Thornton susulan dakwaan berlaku penipuan dalam kertas undi parti itu.

Chee Chong berkata, Kongres Khas Kebangsaan bagi memilih Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu disyaki berlaku ketirisan susulan kertas undi tidak dicetak nama calon dan nombor siri.

“Kita harap polis boleh siasat kes ini. DAP ada undang-undang tapi mereka sendiri tidak mahu ikut peraturan mereka sendiri. Siapa salah guna kuasa, sila ambil tindakan, jangan takut pemimpin.

“Kalau ahli tak mahu ubah (pemimpin), rakyat boleh ubah dalam pilihan raya nanti,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Selasa lalu, sekumpulan bekas dan ahli DAP menyerah surat bantahan CEC DAP kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Selangor di Shah Alam susulan proses pemilihan parti itu tidak telus.

Wakilnya yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Taman Ehsan Klang, L Pannerselvam berkata, proses pengiraan undi dibuat dalam bilik tertutup berjam lamanya, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli parti kemungkinan berlaku manipulasi undi.

Selain itu, Chee Chong juga mahu pihak polis melakukan ujian forensik terhadap semua kertas undi yang disyaki berlaku pengubahsuaian.

Lebih malang apabila calon DAP yang sudah meninggal dunia masih terdapat dalam senarai pemilihan parti itu.

“Kenapa orang mati dan bekas ahli DAP masih dalam senarai DAP. Ini jelas cubaan penipuan dan ahli perlu berani menegur dan membuat polis supaya insiden ini disiasat demi ketelusan dan keadilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Bekas Ahli DAP, Tony Tan (dua kiri) bersama Presiden Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin, Ramesh Rao (dua kanan) pada sidang media mengenai laporan polis terhadap CEC DAP dan Grand Thornton di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2017