Home Nasional Larang ADUN PKR serah bantuan banjir memang tidak wajar

Larang ADUN PKR serah bantuan banjir memang tidak wajar

Dua Sukarelawan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Syaheerah Othman (kiri) dan Hanis Suhaila Khirilanuar (kanan) membersihkan bahagian dapur sebuah rumah di Kg. Lahar Yooi, Tasek Gelugor yang dindingnya roboh akibat banjir. foto SAFWAN MANSOR, 09 NOVEMBER 2017

PULAU PINANG – PKR Pulau Pinang menyifatkan tindakan menyekat peruntukan bantuan mangsa banjir kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng sebagai tidak wajar dan tidak menghormati keputusan demokrasi pilihan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, Kah Peng tidak sepatutnya disekat daripada menjalankan kewajipan sebagai wakil rakyat bagi penduduk Kebun Bunga yang memilihnya.

Malah, beliau turut menilai tindakan menyerahkan tugas tersebut kepada ADUN DAP Pulau Tikus, Yap Soo Huey seolah-olah mengetepikan peranan PKR dalam Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Keputusan menarik peruntukan kepada Kah Peng juga tidak melalui perbincangan dan rundingan dengan PKR Pulau Pinang.

“Alasan sekatan ini adalah kerana atas sebab prosedur dalaman juga amat naif dan sukar diterima. Kita ingin menegaskan tindakan ini  sedikit sebanyak mencalarkan semangat setiakwan dalam Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Kah Peng melahirkan rasa terkejut dan kecewa selepas mendakwa dilarang mengendalikan bantuan banjir berjumlah RM700 yang dijanjikan Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada penduduk di kawasan yang diwakilinya.

Mengakui arahan itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa, perkara tersebut hanyalah perubahan prosedur dan kerajaan negeri memilih Soo Huey bagi menggantikan Kah Peng.

Dalam pada itu, Mansor menambah, PKR Pulau Pinang berpandangan apa yang  paling penting ketika pasca bencana banjir ini adalah merapatkan saf dan menyusun strategi supaya rakyat dapat merasa kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang mendengar dan memahami denyut nadi rakyat.

“Dengan semangat untuk membangkitkan semula Pulau Pinang, keutamaan kita adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Pulau Pinang tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette