Home Politik Pas dakwa sudah layak ambilalih kepimpinan negara

Pas dakwa sudah layak ambilalih kepimpinan negara

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengalaman luas Pas yang hari ini genap berusia 66 tahun didakwa berpotensi mengambilalih kepemimpinan negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketua Pusat Penyelidikan Pas, Mohd. Fadli Ghani berkata, selepas ‘pembersihan operasi parti’ pada tahun 2015 mereka kini telah memasuki era baharu.

“Pas optimis menawarkan gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dan mengemukakan Wawasan Induk Negara Sejahtera sebagai tawaran kepada rakyat dalam menggadapi kebobrokan politik yang berasaskan kebangsaan dan sekularisme yang didukung oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Fadli, hari ini genaplah 66 tahun usia perjuangan Pas melayari samudera untuk menegakkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya hukum dan nilai-nilai Islam di negara ini.

“Demi melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dalam menuju keredhaan Allah SWT, Pas telah melangkah gagah selama 66 tahun menuju destini perjuangannya,” ujarnya lagi.

Dalam tempoh itu, menurutnya, Pas telah mengalami pasang surut dan jatuh bangun perjuangannya.

Katanya, para pengkaji mengatakan Pas telah melalui tahap pembinaan ideologi (1951-1956), pencernaan ideologi (1956-1965) dan pengukuhan ideologi (1965-sekarang).

Daripada sudut kepemimpinannya, ia telah melalui era kepemimpinan ulamak tradisional (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang).

Melihat kepada perkembangan organisasi Pas ini, ia telah melalui tahap penubuhan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1978), tahap kejatuhan (1978-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang).-MalaysiaGazette