Home Ekonomi Agrobank lancar pinjaman mikro Agro TERAS

Agrobank lancar pinjaman mikro Agro TERAS

KUCHING – Agrobank hari ini melancarkan program pembiayaan mikro, Agro TERAS, bagi membantu usahawan mikro dari kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang mengusahakan aktiviti perniagaan berasaskan pertanian dan industri asas tani.

Pengerusinya Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, program pembiayaan Agro TERAS merupakan inisiatif Agrobank untuk membantu usahawan mikro dalam kumpulan itu mendapatkan pembiayaan kewangan, khususnya bagi mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian mereka.

Beliau berkata, menerusi program itu, Agrobank menawarkan pembiayaan secara berperingkat, iaitu RM5,000 pada pembiayaan pertama dan meningkat sehingga RM30,000 mengikut kemampuan dan rekod pembiayaan pemohon.

“Berdasarkan proses yang direkodkan, program ini mampu menjangkau kepada golongan sasaran yang tepat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program berkenaan di Kampung Muara Tebas di sini hari ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Bucklan Bangik yang mewakil Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Mohamad Zabidi berkata, menurut rekod, peserta program Agro TERAS terdiri daripada kumpulan B40 dengan purata pendapatan kasar tahunan mereka adalah RM32,000 atau RM2,300 sebulan.

“Agrobank berharap pembiayaan Agro TERAS ini dapat membantu untuk meningkatkan taraf hidup golongan B40,” katanya.

Bagi fasa pertama, Sarawak dipilih sebagai tapak projek perintis dalam pelaksanaan program secara berperingkat ini dan setakat ini sebanyak 646 permohonan telah diterima sejak produk ini mula ditawarkan pada Mac lepas.

Sementara itu, Buckland berkata, usaha Agrobank memperkenalkan produk Agro TERAS adalah langkah yang bijak dalam membantu usahawan mikro terutamanya dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

“Inisiatif Agrobank ini amat bertepatan dengan keperluan golongan B40 kerana ia secara tidak langsung membina keyakinan mereka untuk terus membesarkan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau percaya usaha Agrobank mampu mengubahkan landskap pertanian, khususnya di negeri ini kerana kesanggupannya membuka cawangan dan menyediakan perkhidmatan perbankan di kawasan terpencil yang tidak dimasuki oleh bank-bank lain.

Menurut Buckland lagi, terdapat banyak program sedang dirancang dan diusahakan kerajaan negeri ini bagi memajukan sektor pertanian negeri ini, termasuk usaha memperkasakan sektor ternakan haiwan peliharaan dan perikanan. – MalaysiaGazette