KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam menyabitkan kesalahan ke atas bekas Ketua Pegawai Esksekutif APLI Industries Bhd (APLI), Stanley Thai Kim Sin, dan
bekas remiser Tiong Kiong Choon kerana kesalahan dagangan orang dalam.
Thai dijatuhi hukuman lima tahun penjara dan denda sebanyak RM5 juta, manakala Tiong dijatuhi hukuman lima tahun dan denda sebanyak RM10 juta.
Kesalahan dagangan orang dalam, di bawah seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), membawa hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
Thai disabitkan kesalahan kerana memberi maklumat bukan awam antara 26 Oktober 2007 dan 29 Oktober 2007 kepada Tiong. Tiong disabitkan dengan dua kesalahan kerana menjual sejumlah 6,208,500 saham APLI ketika memiliki maklumat bukan awam yang sama melalui akaun-akaun yang dimiliki oleh ibu mentua dan ibunya.
Ketika kesalahan tersebut dilakukan, Tiong juga merupakan pedagang intra hari di sebuah syarikat broker saham.
Maklumat bukan awam tersebut yang diberikan oleh Thai kepada Tiong adalah berkaitan dengan cadangan pelarasan audit oleh juruaudit APLI yang menyebabkan APLI melaporkan kerugian yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, berbanding keputusan tidak teraudit bagi suku keempat yang dilaporkan sebelum ini bagi tahun kewangan yang sama, dan APLI akan diklasifikasi sebagai syarikat PN 17.
APLI membuat pengumuman di Bursa Malaysia Securities Bhd mengenai pelarasan audit tersebut dan pengklasifikannya sebagai syarikat PN 17 pada 31 Oktober 2007.
Ketika menjatuhkan hukuman tersebut, hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Zulqarnain Hassan memutuskan bahawa hukuman yang setimpal dikenakan kerana kesalahan dagangan orang dalam dianggap jenayah yang lebih serius daripada jenayah konvesional, memandangkan kesan mendalamnya terhadap keyakinan pelabur dan orang ramai secara keseluruhannya.
“Dagangan orang dalam merupakan jenayah ekonomi kolar putih moden. Ia serius dan berada dalam kategori atau kelasnya yang tersendiri,” kata hakim.
Sabitan tersebut adalah berikutan perbicaraan penuh di mana 14 saksi memberi keterangan kepada pihak pendakwaan manakala empat saksi memberi keterangan bagi pihak defendan. – MalaysiaGazette