KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan semua pihak agar tidak menjadi batu api dalam hubungan partinya dengan Pas.
Peringatan itu dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU-17) yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 5 hingga 9 Disember ini.
“Tunggulah, jangan laga-lagakan UMNO dan PAS, jangan laga-lagakan UMNO, PAS dengan bangsa-bangsa lain, Jangan lagakan UMNO dengan parti komponen lain.
“Jangan ada melaga-lagakan, tunggu saja apa yang bakal berlaku nanti. Kita bukan saja dengan Pas, dengan parti-parti lain pun kita boleh bergabung, kita tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan persediaan menjelang PAU-17 akan datang pada sidang media di PWTC hari ini.
Terdahulu, Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan menghadiri Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 anjuran Pergerakan Wanita umno Malaysia.-MalaysiaGazette