KUALA LUMPUR – Masyarakat Orang Asli yang menyertai Karnival Orang Asli Sejahtera selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini menyifatkan penganjuran program itu dapat membantu mereka memasarkan hasil hutan kepada masyarakat umum.
Malah, menerusi karnival yang diisi dengan aktiviti jualan itu ia secara tidak langsung memberi ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette memuji tindakan proaktif Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kerana memainkan peranan dengan baik untuk membantu masyarakat Orang Asli.
Seorang peserta pempamer pada karnival itu Buding Abdullah berkata, dia berasa bertuah kerana menjadi salah seorang pempamer dalam karnival itu.
Katanya, dia tidak pernah ketinggalan dalam setiap program yang dikendalikan oleh pihak JAKOA kerana merasakan aktiviti yang dilaksana berbaloi.
“Setakat ini saya berjaya memperoleh hasil jualan barangan herba sebanyak RM4,000.
“Bagi saya masyarakat Orang Asli ni, pendapatan sebanyak itu dalam tempoh dua hari memang sangat lumayan.
“Jika hendak dibandingkan kalau menjualnya sendiri di kampung, menyertai karnival seperti ini sememangnya lebih menguntungkan,” katanya yang merupakan peserta pempamer dari Gua Musang, Kelantan.
Seorang lagi peserta pempamer, Salina Bah Daun, 50, berkata, penganjuran karnival seperti itu wajar diadakan lebih kerap lagi kerana ia dapat membantu Orang Asli menjana pendapatan lebih.
Katanya, masyarakat Orang Asli perlu keluar daripada kepompong kemiskinan dan penyertaan mereka dalam karnival seperti itu dapat membantu menyelesaikan masalah kos sara hidup yang turut dirasai kaumnya.
“JAKOA perlu perbanyakkan lagi aktiviti karnival seperti ini. Kalau boleh biarlah empat kali dalam setahun.
“Buat masa ini ia hanya diadakan sekali sahaja dalam setahun. Biarlah ia dibuat lebih lagi selepas ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mariam Marijah, 60, berkata, karnival itu banyak membantunya apabila banyak hasil carian hutan yang dibawa habis terjual.
Selain dapat mengisi masa lapang cucu-cucunya yang kini sedang bercuti sekolah dan datang ke karnival itu untuk membantunya, kehadirannya pada karnival itu memberi ruang kepadanya untuk menjual terus hasil jualannya kepada masyarakat bandar.
“Saya selalu juga ikut program JAKOA ini kalau dipanggil untuk menyertainya.
“Walaupun jauh dan terpaksa bersaing dengan rakan-rakan lain yang menjual hasil hutan yang sama tetapi menjual dengan orang di bandar tidak sama dengan pelanggan di kampung-kampung kerana biasanya mereka akan membeli dalam jumlah yang banyak,” katannya. – MalahysiaGazette