PONTIANÂ – “Makcik tidak pernah menyangka suatu hari nanti dapat genggam duit RM100 di tangan. Dulu, jangan kata pegang, tengok duit RM100 pun tak pernah,” luah usahawan biskut bangkit, Poniah Jais.
Membesarkan enam orang anak termasuk tiga anak angkat dengan bergantung pendapatan suami sebagai pemandu teksi, perjalanan hidup Poniah, 62, bukan mudah.
Sebelum memulakan perniagaan biskut bangkit, pelbagai pekerjaan dilakukan oleh beliau. Beliau pernah menjadi tukang urut serta menjual air soya dan cendol untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Katanya, pendapatan suami sebagai pemandu teksi kecil, terpaksa pula bayar sewa teksi, duit petrol dan kos penyelenggaraan.
“Lepas ditolak semua, dapatnya tak seberapa sebab itu hidup kami susah. Dulu setiap kali hendak sambut raya (hari raya), makcik mesti sedih. Sedih kerana tak mampu hendak beli baju raya anak, hendak buat persiapan raya.
“Kalau dapat beli (baju) pun, makcik beli baju yang tiga helai RM10. Jadilah, asalkan anak-anak gembira dapat baju baru,” katanya yang mesra dengan panggilan Mak Pon.
Tidak betah hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Mak Pon nekad menjual biskut bangkit kelapa pada tahun 1998.
Mak Pon tidak menyangka biskut bangkitnya air tangannya cukup laris dan mendapat perhatian pelbagai pihak.
Rezekinya dipermudahkan, kebetulan Negeri Johor ketika itu sedang mempromosikan 1 Daerah 1 Produk.
Mak Pon mendapat bantuan dari RISDA yang membina premis kecil bernilai RM20,000 untuk dijadikan tempat pengeluaran biskut bangkit. Jabatan Daerah Pontian pula memberi mesin pengadun dan Jabatan Pertanian mengagihkan mesin santan dan ketuhar.
“Alhamdulillah, sejak itu kehidupan makcik berubah dan mula ‘bernafas’,” tambahnya yang turut mendapat pembiayaan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membesarkan perniagaannya secara berperingkat-peringkat.
Setiap hari beliau mengadun antara 20 hingga 30 kilo tepung tetapi pada musim perayaan Mak Pon selalunya memperuntukan modal sehingga RM30,000 kerana pengeluarannya berganda-ganda.
Lima jenis biskut bangkit keluarannya telah menjelajah luar Johor hingga ke Singapura.
Mahu berkongsi kesenangan yang dinikmati sekarang, Mak Pon mengambil wanita-wanita di sekitar kampung untuk berkerja dengannya.
“Saya mahu wanita-wanita yang senasib dengan saya berkerja bersama-sama agar mereka juga dapat mencari pendapatan,” menurutnya.
Selain menjual terus biskut bangkitnya, beliau juga terbuka jika ada mana-mana pihak yang berminat menjadi agen memasarkan air tangannya itu.
“Dengan cara ini, makcik dapat membantu lebih ramai orang menambah pendapatan,” ujar beliau yang kini berjinak-jinak menghasilkan sate sejuk beku. – MalaysiaGazette