KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengumumkan hari ini keputusannya keluar Pas dan menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
ADUN Anak Bukit itu membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang media petang tadi yang dihadiri pimpinan PPBM negeri di Alor Setar dan turut dihadiri Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tahun lalu, beliau juga membuat langkah mengejutkan apabila meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta.
Amiruddin turut pernah menolak jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah yang ditawarkan Pas Pusat kepadanya bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang tidak dilantik semula bagi sesi 2015-2017.
Pengumuman ini dijangka akan memberi tamparan hebat kepada Pas memandangkan Amiruddin merupakan antara pemimpin yang berada dalam kumpulan profesional tetapi tidak keluar parti menyertai Parti Amanah Negara (PAN) ketika krisis dalaman sebelum ini. – MalaysiaGazette