PONTIAN – Dua graduan universiti tempatan nekad meninggalkan kerja di pejabat dan menjadikan tanaman cili sebagai sumber pendapatan yang cukup lumayan.
Menggunakan teknik fertigasi yang menjimatkan masa, penggunaan tanah terhad dan penjimatan penggunaan air, Mohd Hafis Mohd Zin dan Muhammad Hafiz Mahyar, masing-masing berusia 29 tahun kini mengusahakan 4,000 pokok di Kampung Api-Api, dekat sini.
Mohd Hafis Mohd Zin, graduan Marin dari Universiti Malaysia Terengganu dan Muhammad Hafiz Mahyar, Universiti Teknologi Malaysia juga anak kelahiran Pontian tidak menyangka hobi menanam cili secara suka-suka pada awalnya membolehkan mereka meraih pulangan lumayan.
“Bukan mudah mendapat pekerjaan sesuai sekarang kerana saingan cukup sengit membuatkan saya nekad berhenti kerja dan serius dengan projek ini.
“Sebelum berhenti saya mula tanam cili di halaman rumah mak, ayah setiap kali pulang hujung minggu. Dua kali menuai, saya memperoleh hasil sebanyak RM60,000,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Memajak tanah seluas seekar, Mohd Hafis dan Muhammad Hafiz semakin serius dengan ladang fertigasi cili dan usahanya dipermudahkan dengan bantuan Jabatan Pertanian Johor bernilai RM30,000 di bawah Program Galak Usahawan.
Ini tidak termasuk dengan pelbagai kursus dan bimbingan berterusan daripada Jabatan Pertanian.
Muhammad Hafiz pula berbangga apabila hasil keringatnya berjaya dipasarkan di pasar raya dan pasar awam di sekitar Pekan Nanas, Pontian, Benut dan beberapa daerah lain di negeri itu.
“Saya dan rakan terharu dengan kesungguhan dan komitmen pelbagai agensi kerajaan, khususnya Jabatan Pertanian dalam membantu kami menjadi petani berjaya,” tambahnya.
Tidak mahu hanya terlibat dalam penanaman cili, kedua-dua rakan baik itu mahu melebarkan pendapatan mereka dengan menanam terung, timun dan rock melon.
“Kita sudah merancang ke arah itu dan akan melaksanakan sedikit masa lagi,” kata Muhammad Hafiz dengan cukup yakin.
Seronok dengan kejayaan dua anak muda itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong mahu kejayaan Mohd Hafis dan Muhammad Hafiz menjadi pendorong kepada anak-anak muda lain untuk terlibat dalam bidang pertanian.
“Kalau boleh kami mahu lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang pertanian yang menawarkan banyak peluang.
“Sumber makanan dalam negara tidak cukup dan kita perlu mengimport makanan dengan banyak, maka peluang ini wajar diambil,” katanya yang ditemui semasa melawat ladang fertigasi cili tersebut. – MalaysiaGazette