Home Politik Paling lama 6 bulan lagi PRU, masa depan rakyat di tangan kita...

Paling lama 6 bulan lagi PRU, masa depan rakyat di tangan kita – Khairy

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
KUALA LUMPUR – Sayap pemuda komponen Barisan Nasional disarankan supaya mendekati pengundi kali pertama dalam kalangan golongan muda di negara ini.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, golongan muda yang merupakan pengundi baharu dan penentu keputusan  Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini masih belum mempunyai komitmen terhadap mana-mana parti.
Katanya, walaupun sayap Pemuda sering bekerja keras mendekati golongan pemuda tetapi adakalanya mereka tidak cukup dinamik  dengan maklumat dan fakta untuk memujuk kumpulan tersebut.
“Kita selaku Pemuda BN perlu memainkan peranan masing-masing mendekati secara bersemuka dan memahami harapan serta kebimbangan mereka tentang peningkatan kos sara hidup, inflasi dan sebagainya.
“Sekarang kita tidak perlu lihat pada TN50 yang masih ada 30 tahun lagi, yang kita perlu fokus secara serius ialah masa depan lima tahun akan datang.
“Pada pandangan saya mereka belum berkeputusan menyokong, tidak ada kesetiaan terhadap mana-mana parti dan contoh terbaik forum Tun Mahathir Mohamad bersama Lim Kit Siang tidak disenangi rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan  Agung Pemuda myPPP di Wisma Felcra, hari ini.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, semua sayap Pemuda BN termasuk Pemuda myPPP perlu bekerjasama rapat untuk memastikan  rakyat tidak mempunyai persepsi BN sabagai parti yang tidak mempedulikan rakyat atau jauh daripada rakyat.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan meminta Pemuda BN bekerja keras 24 jam sehari untuk memastikan rakyat tidak keliru dan terpedaya dengan dakyah janji-janji pembangkang yang bersifat populis.
“PRU kali ini sangat kritikal dan mencabar untuk BN mempertahankan rekod kemenangan demi masa depan dan tidak boleh dipandang ringan dengan pembangkang.
“Saya yakin rakyat sekali lagi dapt memberi mandat dengan mempertimbangkan rekod pencapaian BN dan pembangkang selama ini.
“Paling lama kita ada enam bulan sahaja untuk berdepan PRU, masa depan rakyat di tangan kita,” tegasnya. – MalaysiaGazette