Home Nasional Program berkhatan RM50 anjuran UMNO Cheras ringan beban penjaga

Program berkhatan RM50 anjuran UMNO Cheras ringan beban penjaga

Para peserta dimandikan dengan semburan air pada Program Berkhatan Beramai-ramai Anjuran UMNO Bahagian Cheras di Pusat Rekreasi Jalan Peel, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 NOVEMBER 2017

CHERAS – Ketika bebanan kos sara hidup di bandar semakin meningkat, langkah Bahagian UMNO Cheras mengadakan program khatan beramai-ramai dengan hanya RM50 bagi setiap seorang kanak-kanak dapat mengurangkan sedikit bebanan penduduk setempat yang rata-rata mengalu-alukan program tersebut diadakan.

Kira-kira 133 kanak-kanak menyertai program khatan beramai-ramai yang diadakan di perkarangan pejabat UMNO Cheras.

Peserta pada awalnya dimandikan dengan semburan air daripada pihak Bomba dan menyalin kain sarung bersiap-sedia untuk menjalani upacara berkhatan.

Seorang penjaga, Mohd Aiman Chong Abdullah, 39 yang membawa dua anaknya menyifatkan program tersebut amat bermanfaat ditambah pula dengan kos yang murah RM50 seorang ia dapat meringankan beban keluarganya.

Mohd Aiman Chong Abdullah

“Mana nak dapat kos berkhatan RM50 seorang di bandar seperti Kuala Lumpur ini… saya rasa program ini sangat bermanfaat dan dapat mrmbantu meringankan beban kos sara hidup keluarga yang hidup bandar,” katanya semasa ditemui pagi tadi.

Sementara itu, seorang lagi penjaga, Halim Abbas, 38, berkata program berkhatan yang dianjurkan membantu keluarga kurang berkemampuan yang majoritinya tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Cheras itu.

“Majoriti peserta ini terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan yang tinggal di PPR, jadi program sebegini sedikit sebanyak mengurangkan kos dalam menjaga anak-anak mereka yang akan masuk alam dewasa tidak lama lagi,” katanya.

Kanak-kanak dilihat tenang dan gembira sepanjang majlis berkhatan kerana rata-rata merupakan rakan sepermainan.

Kelihatan petugas menenangkan peserta pada Program Berkhatan Beramai-ramai Anjuran UMNO Bahagian Cheras di Pusat Rekreasi Jalan Peel, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 NOVEMBER 2017

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Cheras, Datuk Mahadi Abdul Syukor yang ditemui pula berkata program berkhatan tersebut sudah diadakan sejak 15 tahun lalu cuma kali ini ia dikendalikan oleh sayap Pemuda Bahagian itu sendiri.

“Setiap tahun kami adakan program sebegini, ini sudah tahun ke-15 kami adakan.

“Setiap tahun sambutan amat menggalakkan… kami adakan program ini bertujuan  meringankan bebanan ibu bapa khususnya mereka yang tinggal di bandar dan saya difahamkan kos perubatan untuk berkhatan ini mencecah RM190 setiap seorang jika diadakan di luar klinik swasta,” katanya.

Menurut Mahadi, kos selebihnya ditanggung oleh Bahagian UMNO Cheras dan selain itu kanak-kanak yang menyertai program itu diberikan saguhati seperti kain sarung dan makanan turut disediakan.

“Dengan hanya bayar RM50, kami berikan kanak-kanak ini kain sarung dan goodies, makanan juga disediakan kepada ibu bapa.

“Kami adakan setiap tahun kerana banyak ibu bapa yang membawa anak mereka ini terdiri daripada mereka yang tinggal di rumah PPR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette