KEPALA BATAS – Polis menahan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki mendera anak lelakinya berusia setahun sehingga mengalami kecederaan parah di kepala dan lebam di badan di rumah mereka di Kampung Paya Lahar Kepah, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Nor berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 petang Rabu itu, wanita berusia 26 tahun berkenaan dan suaminya yang merupakan warga tempatan, membawa anak mereka ke Hospital Kepala Batas (HKB) kerana tidak sedarkan diri.
“Wanita itu mendakwa anaknya terjatuh ketika sedang bermain dan dahinya terhentak ke lantai ruang tamu rumah mereka sebelum tidak sedarkan diri. Semasa kejadian hanya terdapat dia dan mangsa,” katanya hari ini.
Beliau berkata, menurut ibunya, ekoran kejadian itu, mangsa lebam pada dahi dan berada dalam keadaan lemah serta hanya dibawa ke HKB selepas bapanya pulang daripada kerja.
Katanya, doktor yang merawat mangsa mendapati kanak-kanak itu tiba di hospital dalam keadaan mata tertutup, tiada percakapan dan pergerakan serta disyaki mengalami pendarahan dalam otak.
Noorzainy berkata, pemeriksaan juga mendapati beberapa kesan lebam lama dan baharu di badan kanak-kanak itu antaranya di dada, kaki kiri dan bawah mata.
“Menurut doktor pakar kanak-kanak di HKB, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala disyaki mengalami pendarahan di otak akibat impak kuat daripada sesuatu objek tumpul di dahi dan juga di pipi kanannya.
“Doktor berpendapat kecederaan yang wujud, termasuk banyak kesan lebam berlainan warna di badan mangsa disengajakan, bukan akibat kemalangan,” ujarnya.
Katanya, mangsa yang dalam keadaan koma dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan belum sedarkan diri.
Beliau berkata, jiran mereka mendakwa wanita itu selalu memukul anaknya dan berkelakuan pelik jika suaminya tiada di rumah.
Berikutan itu, polis menahan ibu kanak-kanak berkenaan dan pemeriksaan juga mendapati dia dan anaknya menggunakan pasport Indonesia tamat tempoh visa. – MalaysiaGazette