Home Ekonomi Pengarah Axis, bapa, kakak terlibat dagangan orang dalam didenda

Pengarah Axis, bapa, kakak terlibat dagangan orang dalam didenda

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperoleh penghakiman Mahkamah Tinggi terhadap tiga defendan dalam kes dagangan orang dalam yang melibatkan saham Axis Incorporation Bhd (Axis).

Koh Tee Jin, bekas pengarah Axis, telah diisytiharkan melanggar seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan Modal 2007 (CMSA) kerana menyampaikan maklumat dalaman kepada bapanya, Koh Thiam Seong dan kakaknya, Koh Hui Sim.

Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim diisytiharkan telah melanggar seksyen 188(2)(a) CMSA dengan menjual sebanyak 244,000 dan 739,800 saham Axis masing-masing antara 9 Julai 2008 dan 30 Julai 2008 ketika memiliki maklumat material bukan
awam.

SC mendakwa maklumat material yang dirujuk dalam tindakan tersebut adalah berkaitan dengan isu-isu yang tidak dapat diselesaikan berhubung dengan penyata kewangan Axis bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008.

Ini telah menyebabkan Axis tidak dapat mengemukakan penyata kewangannya yang telah diaudit untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008.

Pengumuman yang berkaitan dengan maklumat material itu telah dibuat pada 30 Julai 2008.

Berikutan penghakiman kerana ingkar hadir, Koh Tee Jin telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar SC sebanyak tiga kali kerugian yang telah dielakkan oleh Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim yang berjumlah RM3,546,477.

Koh Thiam Seong dan Koh Hui Sim masing-masing diperintahkan untuk membayar SC sebanyak RM739,389 dan RM2,807,088, iaitu tiga kali kerugian yang telah dielakkan daripada perbezaan harga saham Axis yang dijual berbanding harga saham sekiranya
maklumat material bukan awam tersebut diperolehi secara umum.

Ketiga-tiga defendan juga diperintahkan agar membayar SC penalti sivil sebanyak RM1 juta setiap seorang, dengan kos dan faedah.

Mereka juga dihalang daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat awam tersenarai selama lima tahun. – MalaysiaGazette