Home Sukan Carrick ditawar jadi jurulatih – Mourinho

Carrick ditawar jadi jurulatih – Mourinho

Michael Carrick

 MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata, Michael Carrick akan ditawarkan peranan kejurulatihan di bawah kendaliannya selepas pemain tengah itu bersara dari bermain bolasepak kelak.

“Michael sebagai individu adalah lebih penting daripada Michael sebagai pemain, jadi kami memberikan dia masa untuk berehat, untuk pulih dan berasa yakin,” kata Mourinho dalam sidang selepas kemenangannya 1-0 ke atas Brighton dan Hove Albion, malam kelmarin.

“Dia perlu tahu bahawa kakitangan bimbingan saya mempunyai kerusi kosong untuknya jika dia mahu dan apabila dia mahu.

“Kerusi itu ada di pejabat untuknya. Saya mahukan itu, lembaga kelab mahu itu, pemiliknya mahukan itu, jadi Michael berada dalam situasi yang selesa jika masa depannya akan bersama kami.”

Dua hari lalu, Carrick menjalani pembedahan jantung akibat denyutan tidak sekata, yang diumumkannya menerusi akaun Twitter.

“Selepas merasakan sesuatu yang tidak kena pada babak kedua ketika perlawanan menentang Burton September lalu, saya menjalani beberapa siri pemeriksaan,” kata Carrick.

“Didapati denyutan jantung saya tidak sekata dan saya terpaksa menjalani prosedur yang dinamakan cardiac ablation.”

Pemain 36 tahun itu tampil membuat kenyataan berkenaan bagi menjawab soalan mengapa dia lama tidak beraksi.

Carrick beraksi dalam empat perlawanan pramusim bersama United tetapi tidak diturunkan hingga perlawanan Piala Liga menentang Burton.

Carrick membuat penampilan pertamanya bersama West Ham United pada 1999, menyertai Tottenham Hotspur dan kemudian United pada 2006.

Dia sudah bermain lebih 300 kali untuk kelab dan 34 kali bersama England. – MalaysiaGazette