Home Politik Enggan tarik balik kenyataan, ADUN Senai diarah keluar Dewan

Enggan tarik balik kenyataan, ADUN Senai diarah keluar Dewan

Wong Shu Qi

ISKANDAR PUTERI – Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Wong Shu Qi hari ini diarahkan keluar dari dewan kerana enggan menarik balik kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan ucapan Bajet Johor 2018.

Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz membuat keputusan itu ketika persidangan DUN Johor bersidang semula pada 2.30 petang selepas mengambil kira keengganan wakil rakyat DAP itu menarik balik kenyataannya.

“YB Senai, kita ada peraturan yang perlu dipatuhi. Kita anggota DUN jika tidak mahu tarik balik, ini bercanggah dengan peraturan. Jadi, saya menggunakan kuasa yang ada pada saya untuk mengarahkan YB Senai keluar Dewan sekarang juga,” katanya ketika mengendalikan persidangan itu.

Shu Qi kemudian mengikuti arahan Mohamad dan keluar dari dewan walaupun menerima bantahan daripada beberapa wakil rakyat pembangkang yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan bajet pada sebelah pagi, Shu Qi mendakwa pada Mac lepas, Menteri Besar Johor dituduh menerima wang RM12 juta daripada pemaju untuk mengubah status perumahan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera.

Menurutnya, semua dakwaan itu diketahui beliau selepas ada pihak memuatnaik dokumen berkaitan ke satu laman web sekali gus meminta Menteri Besar Johor menjelaskan kebenaran terhadap tuduhan tersebut.

Tindakan itu menyebabkan DUN Johor mengalami kekecohan apabila lebih 10 wakil rakyat BN meminta beliau menarik balik kenyataan itu sebelum memohon Timbalan Speaker DUN Johor Datuk Baderi Dasuki mengarahkan Shu Qi dirujuk ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan DUN Johor.

Sementara itu, Mohamad yang ditemui pemberita di luar dewan persidangan berkata, arahan terhadap Wong dibuat mengikut Peraturan 50 Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Bagi Dewan Negeri Johor yang antara lain menetapkan seorang ADUN tidak boleh membawa prasangka buruk kepada ADUN lain.

“Saya sudah merujuk Datuk Baderi dan beliau mengatakan tiada keputusan untuk merujuk dia ke jawatankuasa itu. Jadi, pada sebelah petang, saya mengarahkannya keluar dewan selepas dia enggan menarik balik kenyataannya,” katanya arahan itu hanya untuk hari ini. – MalaysiaGazette