Home Politik Hindraf yang tidak relevan dalam masyarakat India bukan MIC

Hindraf yang tidak relevan dalam masyarakat India bukan MIC

Timbalan Menteri Pendidikan 2, Datuk P Kamalanathan bergambar bersama sebahagian peserta Simposium Institut Aminuffin Baki selepas merasmikan program tersebut di Hotel Eastin, Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 27 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR –  Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bukan sahaja tidak pernah relevan dalam memperjuangkan hak asasi masyarakat India malah pemimpin dalam parti itu sebenarnya akan berbuat sahaja demi kuasa termasuk menanam sentimen kebencian dalam kalangan rakyat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, Pengerusi Hindraf,  P Waythamoorthy buta sejarah kerana mendakwa MIC tidak pernah melakukan apa-apa selama hampir 70 menjadi parti utama dan tertua masyarakat India.

Menurutnya, MIC satu-satunya parti yang telah berjuang bermati-matian untuk membela dan memperkasakan kehidupan masyarakat India di negara sejak zaman mendiang Tun Sambathan lagi.

“Sebenarnya Waythamoorty manusia yang buta sejarah atau berkemungkinan besar ‘berlakon’ seperti tidak tahu apa-apa kerana mahu memutar belit sejarah dan jasa MIC bagi kepentingan diri untuk menang pada PRU-14 nanti.

“Peliknya, Hindraf bukan sahaja tidak relevan malah tidak pernah berbuat apa-apapun untuk kaum India selama ini selain membakar api kebencian.

“Waythamoorthy melarikan diri ke luar negara kononnya mahu memperjuangkan nasib kami di sana dengan membawa kes ke mahkamah. Apabila beliau kembali, beliau tetap diberikan jawatan. Tapi lepas beberapa lama, beliau bertindak melepaskan jawatan tanpa melakukan apa-apa kebaikan pun.

“Kini beliau berganding bahu dengan pembangkang kononnya mahu ‘menghapuskan’ MIC yang selama ini berjuang dan terus memperjuang nasib masyarakat India. Waythamoorty ini setakat ‘tin kosong’ yang banyak bunyi tetapi tiada apa-apa kebaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Simposium Institut Aminuddin Baki 2017 anjuran Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) bersama-sama Institut Aminuddin Baki (IAB) di Hotel Eastin, di sini hari ini.

Kamalanathan yang juga merupakan Ahli Parlimen Hulu Selangor dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkata, segala pembangunan sosio ekonomi dan pendidikan yang telah dikecapi oleh masyarakat India sebenarnya hasil perjuangan MIC.

“Sebagai contoh kerana saya juga merupakan Timbalan Menteri Pendidikan, kita mempunyai 530 buah sekolah Tamil dan lima lagi projek pembinaan sekolah baru sudah diluluskan.

“Sejak 2009 sehingga kini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperuntukkan dana sebanyak RM1 bilion untuk sekolah Tamil sahaja. Ini juga adalah antara usaha dan peranan yang telah dimainkan oleh MIC.

“Kita adalah parti yang memperjuangkan kemerdekaan dan juga parti yang bertanggjungjawab dalam membela nasib kaum India di negara ini. Orang seperti Waythamoorthy hanya pandai berkata-kata dan melakukan seribu satu yang janji satu pun tidak akan ditunaikan sampai bila-bila,” tegasnya.

Tambah Kamalanathan, rakyat khasnya masyarakat sudah celik dan bangkit kerana rata-rata mereka nampak apa yang telah dilakukan dan sedang dilakukan oleh MIC sehingga kini.

“Sampai bila pembangkang mahu terus ‘memperbodohkan’ rakyat? Rakyat nampak apa yang dilakukan oleh kerajaan. MIC juga mempunyai rekod yang cemerlang dalam memperjuangkan hak asasi masyarakat India.

“Pembangkang boleh terus bercakap. Hindraf juga boleh terus berbohong tetapi rakyat nampak dan celik apa yang sedang berlaku ketika ini,” ujarnya.

Semalam, Waythamoorty dalam sesi ceramahnya berikrar untuk ‘menguburkan’ MIC pada pilihan raya akan datang.

Hindraf merupakan pergerakan kaum India yang pernah satu ketika terkenal kerana melakukan protes besar-besaran beberapa bulan menjelang PRU 2008 yang menyaksikan tsunami ‘masyarakat India’.

Bagaimanapun, pada PRU 2013, Waythamoorthy dilantik senator oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, susulan persefahaman dengan BN untuk menjaga kepentingan kaum India.

Beliau kemudian meletak jawatan selang beberapa lama sebelum menyertai pembangkang untuk mendapatkan kerusi bagi parti itu bertanding atas tiket Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette