KOTA BHARU – Hujan lebat dijangka melanda kawasan hulu negeri ini dalam tempoh beberapa hari dan penduduk di kawasan tersebut diminta bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Kamal Mustapha berkata, hujan lebat di negeri ini sejak beberapa hari lalu adalah hujan pantai.
Beliau berkata, menurut laporan Jabatan Meteorologi, hujan kini sedang menuju ke kawasan hulu.
“Setakat ini, paras air sungai-sungai utama di kawasan hulu masih berada di bawah paras bahaya namun sudah mula menunjukkan trend peningkatan.
“Walaupun keadaan sungai-sungai di hulu masih normal, paras airnya sudah mula meningkat dan kemungkinan besar dalam masa beberapa hari lagi keadaan akan menjadi bertambah buruk jika hujan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival JPS Kelantan 2017 oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat, di sini hari ini.
Dalam majlis sama, Mohd. Faudzi turut melancarkan aplikasi percuma, KelGov JPS yang dibangunkan oleh JPS Kelantan bagi membolehkan orang ramai memantau situasi banjir di seluruh negeri ini. – MalaysiaGazette