Home Utama KBS, KKLW akan dipanggil balik PAC

KBS, KKLW akan dipanggil balik PAC

Datuk Seri Hasan Arifin menjelaskan dakwaan laporan Jabatan Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini telah dipinda atas arahan pihak tertentu, tidak berlaku ketika beliau menjadi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Datuk Seri Hasan Arifin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula beberapa kementerian kerana terdapat teguran dan kelemahan dalam laporan kewangan masing-masing.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hassan Ariffin berkata, daripada Laporan Ketua Audit Negara siri kedua tahun lalu, terdapat empat teguran yang dibuat badan itu.

“Kita akan panggil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang melibatkan pembinaan kemudahan sukan kepada belia.

“Kita akan panggil Lembaga Pelabuhan Bintulu, dan ketiganya akan panggil Malaysia Venture Capital dan ada lagi kementerian yang akan kita panggil untuk memberi penjelasan,” kata Hassan dalam satu sidang media di pejabatnya di Parlimen hari ini.

Jelas Hassan, tindakan memanggil KBS dan beberapa agensi kerajaan itu adalah bagi menambah baik supaya prestasi kewangan kementerian dan agensi berada dalam keadaan yang baik.

Antara lain, PAC juga dilaporkan akan memanggil Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang banyak menjalankan projek berkaitan kepentingan masyarakat.

Laporan Ketua Audit Negara siri 2, 2016 telah pun dibentangkan hari ini dan terdapat 126 pendapat telah diberikan badan itu tanpa teguran, dan 12 lagi juga tanpa teguran terhadap perkara-perkara tertentu.

Dalam pada itu, PAC berpuas hati dengan Laporan Ketua Audit Negara yang disifatkan lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.

“Pada keseluruhannya laporan Audit Negara 2016 bagus, dan prestasi kewangan semakin baik dan kesedaran dari segi pengurusan kewangan di kalangan pegawai dan kakitangan bertambah baik.

“PAC berpuashati dengan prestasi audit kementerian, jabatan dan agensi serta kedudukan penyata kewangan badan-badan berkanun persekutuan kumpulan wang persekutuan, akaun amanah dan agensi lain,” katanya lagi.

Turut hadir, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Menurut Madinah, Jabatan Audit Negara kini mengorak langkah dengan memulakan mesyuarat dengan agensi dan penguatkuasa bagi meneliti pelanggaran dan mengkaji kecuaian pihak penjawat awam dalam mengediakan laporan terbabit.

Langkah itu membuahkan hasil apabila tindakan segera dapat dilakukan Jabatan Audit Negara dalam mengesan sebarang ketirisan dalam peruntukan kementerian dan agensi tertentu.

“Kaedah begini merupakan kaedah berkesan. Dalam siri satu laporan lalu, kita lihat sebelum perbentangan laporan Audit Negara.

“Sebaik sahaja perbentangan SPRM telah pun membuat tindakan terhadap beberapa pegawai dalam agensi tertentu jadi tindakan segera dan proaktif dapat dijalankan dilaksanakan sekarang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.