KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang mengumumkan lompat parti ke Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam diingatkan sumpah bai’ah yang dilafaznya tidak ada tempoh ‘expired’, tegas Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Dr Azman Ibrahim.
Azman mengungkit kembali kisahnya pada pilihan raya umum 13 lalu yang mana beliau mengangkat sumpah bai’ah bersama Amiruddin dan seorang lagi pemimpin Pas, Mazlan Aliman yang juga keluar parti menyertai Parti Amanah Negara (PAN).
“Jangan lupa, kita bertiga sebagai bekas calon PRU, pernah melafazkan bai’ah dengan nama Allah untuk tidak khianat kepada perjuangan ini.
“Bai’ah tempoh sahnya sampai akhir hayat. Tidak ada tarikh expired,” kata Azman dalam satu kenyataan.
Azman juga menggesa ahli dan penyokong Pas supaya melupakan mereka yang bertindak keluar parti dana meneruskan perjuangan parti Islam tersebut.
“Yang pergi biarkan dia pergi. Kafilah perjuangan ini terus melangkah. Dalam Pas, pemimpin serta ahli boleh datang dan pergi, Allah akan menentukan bahawa perjuangan meninggikan agama-Nya akan terus dipacu oleh satu kelompok hamba-Nya yang istiqamah,” katanya.
Semalam, Amiruddin mengumumkan keputusannya keluar Pas dan menyertai PPBM.
ADUN Anak Bukit itu membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang media petang tadi yang dihadiri pimpinan PPBM negeri tersebut di Alor Setar dan turut dihadiri Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tahun lalu, beliau juga membuat langkah mengejutkan apabila meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah berkuat kuasa serta merta.
Amiruddin pernah menolak jawatan Pesuruhjaya Pas Kedah yang ditawarkan Pas Pusat kepadanya bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang tidak dilantik semula bagi sesi 2015-2017.
Pengumuman ini dijangka memberi tamparan hebat kepada Pas memandangkan Amiruddin merupakan antara pemimpin yang berada dalam kumpulan profesional tetapi tidak keluar parti menyertai PAN ketika krisis dalaman sebelum ini. – MalaysiaGazette