KUALA LUMPUR – Malaysia mendesak Myanmar menyelesaikan segera isu penindasan ke atas etnik Rohingya sebelum ia bertambah parah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Malaysia tidak memusuhi Myanmar kerana kedua-duanya merupakan negara anggota ASEAN.
Bagaimanapun beliau berkata, isu itu harus diselesaikan segera kerana ia penting di rantau ASEAN.
“Kita tuntut Myanmar selesaikan isu Rohingya ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Khayr Ummah 2017 anjuran Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi (KHEI-KSA), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pertubuhan Al-Khaadem dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia (ILMU) di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Saleh Bin Abdul Aziz Al Ash-Sheikh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Fuad Zarkarshi.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan memerhati isu penindasan serta keganasan yang membelenggu umat Islam di seluruh dunia.
Katanya, ia termasuk isu konflik di Yaman, Syria, Iraq, Afghanistan, Palestin, keganasan di Marawi (Filipina) dan Rohingya di Myanmar.
“Umat Islam harus bergerak sebagai satu pasukan,” katanya merujuk kepada isu memerangi ekstremisme dan isu berkaitan umat Islam.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, umat Islam memerlukan pendekatan bersama dalam menangani keganasan.
Jelasnya, ia termasuk membetulkan salah faham Barat yang sering mengaitkan Islam dengan keganasan berikutan tindakan kelompok tertentu.
Persidangan dua hari bermula semalam itu dihadiri lebih 1,200 peserta merangkumi ulama, tokoh agama, pemikir Islam, ahli akademik dan mahasiswa dari lapan negara anggota ASEAN. – MalaysiaGazette