Home Nasional Pembukaan UTC jimat RM2 bilion perbelanjaan pembangunan – PM

Pembukaan UTC jimat RM2 bilion perbelanjaan pembangunan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. foto SAFWAN MANSOR, 30 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan membuka Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang diperkenalkan bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berjaya menjimatkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM2 bilion, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata NBOS yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2009 berjaya mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dengan lebih berkesan.

“Inisiatif NBOS ini membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan yang memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif.

“Contohnya pada masa ini terdapat 20 UTC di seluruh negara dengan penjimatan pembangunan sebanyak RM2 bilion, memandangkan UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan sedia ada serta tempoh pelaksanaan yang pantas secara purata 10 minggu” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, sambutan rakyat terhadap pembukaan UTC menerima sambutan menggalakkan daripada rata-rata rakyat.

“Sambutan dan permintaan rakyat terhadap perkhidmatan UTC amatlah menggalakkan di mana sejak tahun 2013 UTC telah memberi perkhidmatan kepada lebih daripada 54 juta orang pengunjung,” katanya lagi.

Selain itu, jelas Najib, menerusi program NBOS yang diperkenalkan kerajaan dapat melaksanakan dasar-dasar negara lebih efektif dengan kos lebih rendah berbanding cara konvensional sebagai contohnya kerjasama antara pasukan polis dengan tentera.

“Melalui kerjasama NBOS ini juga, pasukan polis misalnya boleh menggunakan fasiliti pasukan tentera bagi tujuan latihan rondaan bersama di kawasan tumpuan panas.

“Kerjasama ini sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan bagi membina fasiliti dan pusat latihan baharu,” ujarnya lagi.

Najib juga menegaskan NBOS sebagai pemangkin penting kepada matlamat jangka panjang Transformasi Nasional 2050 yang mana usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara terbaik dunia. – MalaysiaGazette