PANMUNJOM – Korea Utara melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Korea Selatan apabila tentera Korea Utara menembak dan mencederakan seorang askar Pyongyang yang melintasi sempadan kedua-dua negara.
Lantaran itu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberi amaran kepada Korea Utara agar tidak mengulangi kejadian seumpama itu lagi.
Dalam kejadian itu, askar Koera Utara yang hanya dengan nama keluarganya, Oh, kritikal selepas ditembak beberapa kali. Namun, beliau yang berada di sebuah hospital semakin pulih.
Insiden ini berlaku ketika hubungan Korea Utara dan komuniti antarabangsa tegang berikutan program senjata nuklear Pyongyang.
Menteri Pertahanan Korea Selatan Young-moo mengeluarkan amarannya ke Korea Utara semasa lawatan ke sempadan.
Beliau memuji tentera Korea Selatan di Kawasan Keamanan Bersama (JSA), dekat Panmunjom, yang berada dalam Zon Penampan Tentera kerana berjaya menyelamatkan askar itu.
Seorang pengawal sempadan Korea Utara menyeberangi sempadan Korea Selatan ketika mengejar askarnya pada 13 November lalu.
Rakaman melalui sebuah video yang dikeluarkan oleh Komando PBB (UNC) di Seoul menunjukkan berlaku- pelanggaran kesepakatan gencatan senjata antara kedua-dua negara yang dibuat pada akhir Perang Korea 1950-53.
“Menembak ke arah Korea Selatan semasa mengejar askar itu adalah pelanggaran perjanjian gencatan senjata. Menyeberangi garis penanda tentera adalah satu pelanggaran. Membawa senapang automatik (di JSA), satu lagi pelanggaran.
“Korea Utara harus dimaklumkan hal ini supaya tidak berlaku lagi,” tegas Song sambil berdiri di tempat askar tentera Korea Selatan menemui Oh.
Sejak pembelotan itu, Korea Utara dilaporkan menggantikan pengawal yang ditempatkan di sana.
Askar-askar telah membina satu bahagian kawasan yang dilihat bertujuan menghalang sebarang pembelotan dengan menggali parit dan menanam pokok.
Ketika Song bercakap 10 meter dari pokok-pokok yang ditanam oleh tentera Korea Utara, empat tenteranya dilihat mendengarnya. – MalaysiaGazette