KUALA LUMPUR – Masih terdapat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tidak bersedia untuk disenaraikan di pasaran LEAP meskipun mempunyai kelayakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan berkata, hampir 50 peratus daripada usahawan yang mampu untuk disenaraikan gagal berbuat demikian kerana tidak membuat persiapan teliti.
“Mereka mempunyai inisiatif tetapi tidak membuat persediaan mencukupi. Ada yang tidak membuat penyata akaun dengan betul, ada yang tidak menyedari mereka perlu menukar syarikat dari sendirian berhad kepada berhad dan pelbagai lagi.
“Disebabkan itu kami hadir ke seminar ini untuk berkongsi perjalanan yang perlu dilalui oleh para usahawan sebelum mereka menyenaraikan syarikat masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Terbitan Awam Permulaan (IPO) – Tangga ke Penyenaraian di sini hari ini.
Majlis dianjurkan oleh SME Corporations Malaysia dan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut Tajuddin, daripada 13 syarikat, dua telah disenaraikan di pasaran LEAP dan terdapat dua atau tiga lagi syarikat sedang dalam perancangan untuk disenaraikan. – MalaysiaGazette