Home Politik MyPPP diarah tutup mulut isu kerusi Cameron Highlands

MyPPP diarah tutup mulut isu kerusi Cameron Highlands

Arvind Krishnan

KUALA LUMPUR – MyPPP diberi ‘amaran’ supaya tidak sesekali mencampuri urusan MIC selain berhenti memanipulasi isu calon kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Setiausaha Pemuda MIC, Arvind Krishnan berkata, tindakan segelintir pemimpin MyPPP yang berteruskan menimbulkan kekacauan dan rasa tidak harmoni dalam komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya MIC adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Menurutnya, Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas bercita-cita untuk bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands walaupun pada hakikatnya ia adalah kerusi tradisi MIC yang dimenangi calon parti itu sebelum ini.

“Memang selama ini kami berdiam diri dan enggan melayan kerenah serta tohmahan yang dilemparkan oleh pemimpin MyPPP tetapi kesabaran kami juga ada had.

“Kavyeas mahu bertanding kerusi Cameron Highlands tetapi beliau sendiri sudah dua kali kalah teruk pada pilihan raya umum terdahulu. Tidak cukup dengan itu, beliau juga tidak mempunyai sokongan seperti yang didakwa oleh beliau dan ahli parti yang lain.

“Saya minta Ketua Pemuda, Satiah Sudhakaran dan Ketua Penerangan MyPPP, Simon Suresh supaya berhenti memberi kenyataan tidak berasas hanya kerana mereka terdesak mahu Presiden mereka tercalon untuk kerusi Cameron Highlands,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands seolah-olah tiada penghujung apabila MyPPP melalui Kavyeas dan Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berbalah siapa lebih layak bertanding di kawasan tersebut sejak akhir-akhir ini.

Jelas Arvind, beliau kesal dengan tindakan Simon Suresh yang dikatakan mengeluarkan kenyataan Sivarraajh sengaja berbohong tentang kehadiran warga Cameron Highlands ke program anjuran MIC.

“Saya rasa Simon hidup dalam dunia khayalan. Tidak logik dan adalah pembohongan besar seandainya menuduh kehadiran pada program MIC tidak kurang daripada 100 orang. Macam-macam fakta telah diputarbelitkan dan rata-ratanya seolah-olah mencabar kewibawaan kami terutamanya Sivarraajh.

“Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang hadir pada majlis Rumah Terbuka MIC di Cameron Highlands baru-baru ini bukan sahaja kagum segala usaha MIC malah turut memuji jumlah kehadiran yang lebih 3,000 (orang) pada malam itu. Adakah beliau juga berbohong? Selepas ini tolong semak fakta sebelum bercakap.

“Sathiah pula baru-baru membidas kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon yang memberi sokongan terbuka terhadap Sivarraajh sekiranya terpilih sebagai calon kelak. Sin Woon memberi galakan kepada pengundi untuk mengundi calon baru. Daripada calon veteran sudah tentu calon golongan muda lebih baik,” tegasnya.

Dalam pada itu, Arvind turut meminta MyPPP bersabar dan berhenti melakukan provokasi serta spekulasi siapa yang akan tercalon bagi kerusi Cameron Highlands yang juga dikatakan antara kerusi selamat BN.

“Kita biar Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan yang adil. Sehingga itu, adalah lebih kita bergandingan dan melakukan yang terbaik untuk kebaikan komponen dan kemenangan besar BN.

“Sekiranya kita bergaduh sesama sendiri dan mengeluarkan pelbagai jenis fitnah dan tohmahan antara satu sama lain, kita juga yang akan rugi. Kita juga perlu bercakap dengan menggunakan fakta,” katanya. – MalaysiaGazette