Home Utama Tambang ECRL hanya dikira 20 sen setiap kilometer

Tambang ECRL hanya dikira 20 sen setiap kilometer

Othman Aziz

KUALA LUMPUR – Pengiraan tambang penumpang bagi perkhidmatan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) apabila siap kelak adalah sebanyak 20 sen bagi setiap satu kilometer, kata Datuk Othman Aziz.

Timbalan Menteri Kewangan I itu memberi jaminan kerajaan tidak akan mengenakan tambang yang membebankan rakyat dan daripada kajian yang dijalankan tambang yang bakal dikenakan adalah hanya sekitar RM120 bagi perjalanan dari Gombak ke Tumpat.

“Kita tidak akan memberi tekanan kepada rakyat… untuk makluman, kajian yang dibuat ini, satu kilometer lebih kurang dalam 20 sen tambang dia.

“Jadi, mula dari KL sampai Kelantan, Gombak sampai Tumpat ini, 680km sekitar RM120 dan sebagainya, itu untuk tambang,” kata Othman di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Othman menjelaskan tumpuan hasil yang akan dikutip bagi perkhidmatan ECRL tidak hanya fokus kepada penumpang semata-mata kerana ia lebih tertumpu kepada tambang kargo yang dijangka akan mengangkat pertumbuhan ekonomi di kawasan pantai timur nanti.

“Tapi yang penting kita tak mengharapkan semata-mata tambang untuk penumpang ini tapi lebih kepada tambang kargo bukan sahaja menjadikan projek ini lebih viable tapi yang penting kita nak mengangkat pertumbuhan di kawasan baharu pantai timur ini setaraf pantai barat pada masa depan,” katanya lagi.

Kos keseluruhan bagi projek ECRL ialah RM55 bilion membabitkan landasan sejauh 668km yang akan menghubungkan Lembah Klang dan tiga negeri di pantai timur.

Landasan sepanjang 688 kilometer itu akan jadi landasan rel terpanjang di Malaysia. Ia bakal menghubungkan Gombak di Selangor dengan Kota Bharu di Kelantan dalam masa empat jam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancarannya 9 Ogos lalu menyebut projek itu sebagai “pencetus perubahan” bagi negara. – MalaysiaGazette