Home Nasional Terengganu dilanda banjir, 936 mangsa dipindahkan

Terengganu dilanda banjir, 936 mangsa dipindahkan

KUALA TERENGGANU – Terengganu yang mula berdepan dengan bencana banjir ekoran hujan lebat sejak tiga hari lalu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak lewat malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), setakat 7 pagi seramai 936 mangsa daripada 308 keluarga ditempatkan di 32 PPS di lima daerah yang terlibat.

Daerah Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 515 mangsa daripada 198 keluarga ditempatkan di 20 PPS manakala Setiu, 185 mangsa (47 keluarga) di lima PPS.

Seramai 138 mangsa (38 keluarga) ditempatkan di empat PPS di Dungun manakala di Marang, 59 mangsa (14 keluarga) di dua PPS dan 39 mangsa (11 keluarga) di satu pusat pemindahan di Besut.

Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi, paras air Sungai Telemong, di Kuala Ping, Hulu Terengganu mencatatkan 21.01m (paras bahaya 20.00m), Sungai Nerus di Langkap, Setiu 22.11m (paras bahaya 21.50m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang mencatatkan 3.18 meter, (paras bahaya 3.00m).

Keadaan tersebut dijangka berterusan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain hujan lebat di beberapa kawasan sejak awal pagi tadi. – Bernama