Home Politik Cabar Azmin: PM belum bisik kepada saya – Jamal

Cabar Azmin: PM belum bisik kepada saya – Jamal

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada pemberita di pekarangan Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia, di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak belum membisikkan apa-apa dan tidak menyentuh tentang hasrat saya untuk mencabar penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sambil tersenyum selepas diminta berkongsi tentang respon perdana menteri mengenai hasratnya itu dalam lawatan mengejut di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, semalam.

“Tak ada (senyum), dia (Najib) tak ada sentuh perkara tersebut. Ini adalah niat saya sendiri untuk menawarkan diri di DUN Bukit Antarabangsa. Kalau saya gila nak bertanding, lebih baik saya jaga kawasan saya sendiri.

“Kalau saya nak bertanding di Parlimen Sungai Besar, saya sudah buat dengan cantik bersama rakan-rakan lain Insya-Allah pasti akan menang pada pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Restoran Gabungan NGO 1Malaysia, di Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Petugas sukarelawan sedang menghidangkan lauk-pauk kepada orang ramai di Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia, di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahad lalu, Jamal menyatakan hasrat berminat bertanding di kerusi yang disandang menteri besar itu selepas program Konvoi Bermotosikal Pengundi Luar di Sekin Resort, Sekinchan.

Jamal juga mengakui usaha itu lebih mencabar dan memerlukan usaha keras untuk merampas kerusi itu daripada Mohamed Azmin.

Perkara itu juga dalam pengetahuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Jamal juga berkata, beliau memilih untuk bertanding di DUN Bukit Antarabangsa susulan kediamannya juga berada dalam kawasan itu.

“Sebab itu saya memilih Bukit Antarabangsa ini kerana DUN ini disandang oleh Menteri Besar, YB Azmin Ali selama dua penggal.

“Kebetulan pula kawasan kediaman saya di Ampang dalam kawasan DUN Bukit Antarabangsa,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau tidak berhasrat bertanding di DUN Sekinchan kerana penyandangnya, Ng Suee Lim tidak setanding untuk dicabar.

“Saya lebih melihat YB Ng Suee Lim bukan lawan saya untuk saya bertanding di Sekinchan.

“Kalau saya bertanding di Sekinchan, any time saya boleh pukul K.O. YB Ng Suee Lim, tiada masalah dijamin 100 peratus,” katanya lagi. -MalaysiaGazette