KUALA LUMPUR – Pekerja yang bergaji RM3,100 ke atas sahaja akan dikenakan cukai pendapatan mulai tahun depan apabila kerajaan mengambil langkah mengurangkan dua peratus tahap potongan cukai bulanan (PCB) ke atas pekerja.
Timbalan Menteri Kewangna I, Datuk Othman Aziz berkata, langkah mengurangkan dua peratus daripada lima peratus menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk meringankan bebanan rakyat.
“Sebelum tahun 2017, mereka yang kena bayar PCB ini, tahap pendapatan mula dikenakan potongan cukai adalah RM2851, tapi bila kita reduce dua peratus ini, pendapatan sampai ke peringkat RM3,100.
“Maksudnya sekarang, bawah RM3,000 tak perlu bayar cukai, jadi dengan pengurangan daripada lima peratus kepada tiga peratusini ia akan meringankan lebih bebanan rakyat, itu maksudnya,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini semasa perbahasan Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, Othman berkata jumlah pembayar cukai pendapatan individu di Malaysia masih kecil dengan hanya 2.27 juta orang sahaja yang membayar cukai.
“Untuk makluman data setakat tahun 2016, jumlah tenaga buruh atau pun pekerja 14.6 juta, yang berdaftar dengan Lembaga Hasil (LHDN) makna buka fail 12.2 juta, yang aktif walaupun ada fail tapi bayar cukai adalah sebanyak 6.9 juta, kemudiaan daripada 6.9 juta ini yang membayar cukai hanya 2.27 juta.
“Walaupun kita ada jumlah tenaga buruh berdaftar 14.6 juta, tapi yang bayar cukai hanya 2.27 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Othman berkata jumlah syarikat yang membayar cukai juga kecil dimana daripada 1.2 juta syarikat yang berfaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya 168,244 syarikat membayar cukai.
“Jadi nampak sangat seperti juga cukai individu tadi, peratusannya memang rendah, maksudnya saya rasa kerajaan ambil langkah perkenalkan cukai pengguna GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) ini, supaya siapa yang guna barang kena GST bayar lah portion itu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette
3100 tu adalah gaji pokok atau tambahan keseluruhan