KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mengendalikan hutang negara dengan terurus dan keberhutangan negara berada pada tahap sederhana, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib Razak berkata, hutang kerajaan Persekutuan sehingga hujung Jun 2017 adalah sebanyak RM685.1 bilion.
Jumlah itu katanya 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
“Sementara 3.3 peratus atau RM22.7 bilion lagi adalah hutang luar pesisir (1.7 peratus daripada KDNK).
“Kedudukan hutang kerajaan persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” kata menerusi jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
Bagi 2017 pinjaman kasar kerajaan adalah RM108 bilion dengan bayaran balik pokok adalah RM67.2 bilion manakala pinjaman bagi membiayai defisit adalah RM39.9 bilion.
Najib turut menegaskan, kerajaannya sentiasa memastikan bayaran pokok dan faedah sentiasa dibuat dalam keadaan teratur berdasarkan jadual pembayaran.
“Sehingga kini kerajaan tidak pernah gagal dalam membuat bayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan,” kata Najib lagi.
Sementara itu, Najib juga memberitahu sehingga 30 Jun 2017 kerajaan menjamin sejumlah RM217.37 bilion hutang.
Hutang berkenaan katanya adalah daripada 4 badan berkanun dan 26 anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
“Tujuan jaminan kerajaan diberikam adalah untuk melaksanakan projek strategik negara yang berimpak tinggi.
“Projek berkenaan adalah bagi memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan yang terbahagi kepada sektor pendidikan, perkhidmatan, infrastruktur, kewangan, pegangan pelaburan, dan utiliti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette