KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan bacaan kedua pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 di Dewan Rakyat esok dimana mahkamah berkuasa untuk menghukum pengedar dadah dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan itu untuk memberi kuasa kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara bagi menentukan orang yang disabitkan telah membantu agensi penguatkuasaan dalam mengendalakan aktiviti pengedaran dadah di dalam atau luar Malaysia, dan bukannya perakuan bertulis oleh pendakwaraya seperti yang terkandung di dalam RUU asal.
“Cadangan pindaan ini digubal dengan teliti dengan mengambil kira niat utama kerajaan untuk memberikan mesej pencegahan yang serius dan meningkatkan keberkesanan operasi bagi agensi penguatkuasaan dalam membanteras masalah pengedaran dadah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azalina, notis pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan berkaitan pindaan tersebut telah dihantar untuk memaklumkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Dadah Merbahaya (Pindaan) 2017.
“Cadangan pindaan ini adalah dengan mengambil kira pandangan dan cadangan pihak-pihak berkepentingan yang telah dikemukakan kepada kerajaan.
“Pindaan ini menunjukkan keterbukaan kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa mendengar pandangan pelbagai pihak untuk memastikan setiap keputusan dasar dibuat secara inklusif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette