SINGAPURA – Harga minyak meningkat di tengah-tengah dagangan rendah pada hari ini, menjelang mesyuarat OPEC di Vienna yang mana perjanjian pengurangan bekalan minyak dijangka dilanjutkan untuk mengawal lebihan bekalan.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan bermesyuarat di ibu pejabatnya bersama dengan menteri-menteri dari negara-negara pengeluar minyak yang lain termasuk Rusia.
OPEC dijadualkan mengadakan sesi terbuka, termasuk media, pada pukul 10 pagi (0900 GMT) di Vienna pada hari Khamis, sebelum masuk ke sesi tertutup pada tengah hari, menurut program tentatif di laman web OPEC.
Para menteri bukan OPEC bersedia untuk menyertai mesyuarat pada 3 petang, diikuti oleh sidang akhbar bersama selepas mesyuarat itu.
Para pedagang berkata, jumlah dagangan rendah menjelang mesyuarat tersebut.
Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Februari diniagakan pada AS$ 62.84 setong pada 0704 GMT, naik AS$0.31 atau 0.5 peratus daripada harga penutup.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$ 57.50 setong, naik AS$0.20 sen atau 0.4 peratus.
Walaupun belum ada pernyataan rasmi, OPEC dan Rusia nampaknya bersedia untuk memanjangkan pemotongan bekalan minyak mereka sehingga akhir tahun 2018.
Pengurangan itu dibuat pada Januari lalu dan akan berakhir pada Mac tahun depan.
“Jika OPEC memanjang tanpa sebarang kaveat, maka harga mungkin naik secara perlahan,” kata Oystein Berentsen, pengarah urusan perdagangan mentah di Strong Petroleum di Singapura.
Walau bagaimanapun, lanjutan mungkin merangkumi semakan pada bulan Jun sekiranya permintaan baik di tengah-tengah pengekalan had bekalan berterusan dalam pasaran.
“Konsensus semasa adalah ahli-ahli akan bersetuju dengan lanjutan untuk potongan pengeluaran tetapi tempoh peluasan tidak pasti,” kata William O’Loughlin, penganalisis pelaburan di Rivkin Securities.
Salah satu kebimbangan terbesar OPEC adalah pengeluaran yang meningkat di Amerika Syarikat, sebahagian besarnya disebabkan oleh para penggerudi syal yang cepat mendapat penguasaan pasaran global dan menjejaskan usaha OPEC untuk mengawal pasaran.
Pengeluaran minyak Amerika Syarikat mencatat rekod baru sebanyak 9.68 juta tong sehari minggu lepas, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada hari Rabu. – MalaysiaGazette