Home Nasional Isu Perjanjian Malaysia: Pandikar pelawa KM Sarawak berdebat

Isu Perjanjian Malaysia: Pandikar pelawa KM Sarawak berdebat

Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersedia berdebat dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana tidak sependapat berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Speaker Dewan Rakyat itu mengalu-alukan Abang Johari untuk berdebat selepas Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan balasnya tidak bersetuju dengan Pandikar yang menyatakan perjanjian tersebut tidak penting bagi dua negeri Borneo, Sabah dan Sarawak.

“Ya, jika dia mahu berdebat dengan saya, ia dialu-alukan,” kata Pandikar semasa ditemui wartawan di Parlimen hari in.

Pandikar berkata, Abang Johari boleh tidak bersetuju dengan pandangannya dan ia tidak menjadi satu masalah baginya.

“Jika beliau tidak bersetuju dengan saya 10 kali, saya lagi 100 kali tidak bersetuju dengan beliau,” katanya lagi.

Pandikar sebelum ini membuat kenyataan Sabah sama taraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia, dengan menyebut Bab 2 Kalusa 10 Laporan IGC yang dilampirkan dalam Artikel 8 Perjanjian Malaysia 1963 yang menyatakan bahawa bekas tanah jajahan British Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak sama dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung.

Semalam, Abang Johari berkata, beliau tidak sependapat dengan Pandikar dan menyifatkan MA63 sebagai sebuah dokumen penting.

“Saya mohon berbeza pendapat dengan Pandikar Amin tentang MA63. Saya fikir apa yang sebenarnya berlaku anda tidak boleh sifatkan MA63 sebagai tidak penting.

“(MA63) adalah dokumen yang amat penting, di mana hak wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung  Malaysia adalah asas MA63,” kata Abang Johari semalam.

Tentang perkara berkaitan, Abang Johari berkata, beliau akan membuat pengumuman berhubung rundingan berkaitan hak istimewa Sarawak dan  MA63 selepas perbincangan pasukan petugas peringkat tinggi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini bukan kali pertama Pandikar mencabar pemimpin negeri Borneo untuk berdebat dengan beliau.

Sebelum ini, cabaran sama juga dilontar kepada Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga tidak bersetuju dengan pandangannya. – MalaysiaGazette