KUALA LUMPUR – Pasaran kewangan Malaysia secara relatif stabil pada bulan Oktober 2017 disebabkan sikap pelabur yang berhati-hati dalam urus niaga sebelum pengumuman pengerusi baharu Rizab Persekutuan dan resolusi belanjawan Amerika Syarikat pada tahun 2018 yang dijangka membawa kepada pembaharuan cukai.
Perkembangan itu telah menyebabkan pergerakan yang kecil dalam pasaran ringgit dan ekuiti, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bagaimanapun, kadar hasil pasaran bon mengalami kenaikan di tengah-tengah aliran keluar bukan pemastautin sebanyak RM2.2 bilion.
BNM dalam kenyataan soroton bulan Oktober 2017 berkata, pertumbuhan pembiayaan bersih mampan untuk menyokong aktiviti ekonomi negara.
Pertumbuhan pembiayaan bersih terus mampan sebanyak 6.5 peratus pada bulan Oktober (September: 6.6%).
Manakala pertumbuhan terbitan bon korporat terkumpul bersih meningkat kepada 12.0% (September: 10.9%), dan pertumbuhan pinjaman terkumpul sistem perbankan menjadi sederhana kepada 4.6% (September: 5.2%).
Pertumbuhan pinjaman yang lebih sederhana ini disebabkan oleh sektor perniagaan (Oktober: 4.1%; September: 5.8%) disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih kukuh dalam pembayaran balik pinjaman berbanding dengan pinjaman yang dikeluarkan.
Indeks Pengeluaran Industri (IIP) bersih terus positif pada suku ketiga 2017 dengan kedudukan aset bersih Malaysia adalah sebanyak RM21.5 bilion.
Jumlah ini bersamaan dengan 1.6% daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada akhir bulan September 2017 (akhir bulan Jun 2017: RM42.3 bilion; 3.2% daripada PNK).
Kedudukan aset bersih Malaysia menambah daya tahan terhadap pelbagai kejutan, termasuk kemungkinan aliran keluar yang berkaitan dengan liabiliti luaran.
Bank Pusat itu berkata, permodalan sistem perbankan kekal kukuh dengan institusi kewangan berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi apa-apa kejutan makroekonomi dan kewangan yang buruk.
Daya tahan ini disebabkan terdapatnya lebihan penampan modal sebanyak RM135 bilion pada bulan Oktober 2017.
Lebih 75 peratus daripada jumlah modal terdiri daripada modal penyerap kerugian yang berkualiti tinggi dalam bentuk modal CET-1 (iaitu ekuiti, perolehan tertahan dan rizab).
Tambah BNM, kadar inflasi lebih rendah pada bulan Oktober kepada 3.7 peratus
terutamanya oleh inflasi pengangkutan yang lebih rendah pada 12.1 peratus (September: 15.8%).
Meskipun purata harga petrol RON95 rendah sedikit pada RM2.18 seliter pada bulan Oktober (September: RM2.19 seliter), asas harga RON95 yang lebih tinggi pada bulan Oktober 2016 (RM1.80 seliter) berbanding dengan bulan September 2016 (RM1.70 seliter) telah menyebabkan inflasi yang lebih rendah dalam kategori pengangkutan.
Inflasi teras pada bulan Oktober juga lebih rendah pada 2.3 peratus (September: 2.4%).
Katanya, inflasi barangan teras yang lebih rendah adalah menyeluruh dengan jumlah barangan yang mencatat kenaikan yang tinggi semakin berkurang.
Pasaran kewangan kekal stabil pada bulan Oktober dalam keadaan ketidaktentuan di Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette