KUALA LUMPUR – Parti Makkal Sakti Malaysia akan memfokuskan kepada strategi dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada perhimpunan agung tahunan ke-9 parti itu, Ahad ini.
Presidennya Datuk Seri R. S. Thanenthiran berkata ini kerana kesiapsiagaan kesemua parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti mesra Barisan Nasional (BN) sangat penting bagi menghadapi pilihan raya yang dianggap sebagai ‘mother of all battles’ (ibu segala pilihan raya).
“Kita kena pastikan BN dapat memenangi semula dua pertiga kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan yang lebih kuat,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, di sini hari ini.
Thanenthiran berkata sokongan masyarakat India terhadap BN kembali pulih selepas mereka menyedari pembangkang hanya pandai menabur janji kosong untuk meraih sokongan pengundi, khususnya masyarakat India.
“Isu-isu yang dibawa mereka seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan isu lapuk yang telahpun diselesaikan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan baik, ” katanya.- BERNAMA