KUALA LUMPUR – Kos menghasilkan video berdurasi 60 saat yang dibayar kepada pemain bola sepak terkenal, Luis SuarezĀ bernilai RM3.1 juta.
Itu kata kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Beliau berkata, kos tersebut melibatkan empat video dimana penyerang kelab Sepanyol dari Barcelona itu terlibat dalam mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada para pelancong luar negara.
“RM3.1 juta adalah kos pembikinan empat video berdurasi 60 saat bagi Luis Suarez mempromosi destinasi pelancongan, budaya, makanan dan sukan tradisional Malaysia melalui media sosial beliau dan Tourism Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Mohamed Nazri juga berkata, Suarez akan datang bercuti ke Malaysia tahun depan selepas Piala Dunia 2018 sebagai salah satu program untuk mempromosi pelancongan negara.
“Buat masa ini, Malaysia adalah negara pertama di Asia yang telah bekerjasama dengan pemain bola sepak terkemuka dari kelab Barcelona dan negara ini akan jadi destinasi percutian beliau pada tahun depan selepas tamat bola sepak Piala Dunia nanti,” katanya lagi.
Mohamed Nazri menjelaskan Suarez merupakan ikon bola sepak yang popular dalam media sosial dimana memiliki pengikut yang ramai.
“Kalau dia jahat sangat, takkan dia punya Instagram 25.3 juta orang pengikut, kalau dia jahat orang tak follow dia, Facebook dia 18.9 juta orang dan Twitter 12.4 juta.
“Apa yang statisitik ini menunjukkan dia memang seorang yang popular,” kata beliau semasa menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PKR), Hee Loy Sian.
Penyerang Barcelona kelahiran Uruguay, Suarez menjadi duta pelancongan Malaysia menerusi kontrak yang diikat selama setahun selepas dipilih oleh Tourism Malaysia untuk mempromosikan negara kepada generasi millenial. – MalaysiaGazette