KUALA LUMPUR – Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) menyifatkan kematian bekas Setiausaha Agung Asean, Tan Sri Dr Surin Pitsuwan hari ini sebagai satu kerugian besar kepada dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata pemergian Surin merupakan satu kehilangan besar kerana Allahyarham seorang tokoh yang telah menunjukkan komitmen mendalam dalam usaha-usaha membudayakan integriti.
“INTEGRITI merasakan kematian Allahyarham bukan sahaja satu kerugian kepada rakyat Thailand, malah kepada seluruh dunia khususnya kepada rantau ASEAN.
“Kami menerima berita yang mengejutkan ini dengan penuh sedih,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Anis Yusal, Surin, bekas Menteri Luar Thailand, adalah seorang negarawan terbilang dan seorang yang berilmu dan banyak menyurahkan bakti bukan sahaja kepada Thailand malah kepada dunia.
Beliau berkata, Allahyarham telah banyak memberi panduan dan kerjasama padu kepada INTEGRITI.
Kata Anis Yusal, INTEGRITI amat merasai kehilangan beliau yang telah menyampaikan ucaptama pada Dialog Integriti ASEAN 2017 yang diadakan Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.
“Beliau juga telah memenuhi undangan INTEGRITI untuk menyampaikan ucaptama pada AID 2008 iaitu AID pertama dianjurkan oleh INTEGRITI,” kata beliau.
Kata Anis, semoga seluruh keluarga arwah diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.
“INTEGRITI juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” kata beliau. – MalaysiaGazette