KUALA LUMPUR – Lebih 1, 000 delegasi dalam dan luar negara dijangka menghadiri Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik Kuala Lumpur 2017 (WIPKL) anjuran Pergerakan Wanita UMNO pada 3 Disember ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WIPKL 2017, Datin Paduka Nor Hayati Onn, persidangan yang diadakan buat kali kedua itu sebenarnya menjadi platform bagi membincangkan peranan, impak dan peluang wanita daripada segi kepimpinan.
“Para peserta persidangan berpeluang bertukar-tukar pendapat mengenai amalan terbaik dan cabaran yang dihadapi dalam usaha meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam bidang politik.
“Segala pelan dan cadangan yang melibatkan isu-isu berkaitan perwakilan wanita dalam bidang politik di negara masing-masing turut akan diketengahkan dan dikongsi sewaktu program itu berlangsung,” katanya pada sidang media di Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Malaysia di sini hari hari ini.
WIPKL 2017 yang bertemakan Kepimpinan dan Kesamarataan Wanita dan Revolusi Perindustrian 4.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur serta akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ini juga merupakan kesinambungan daripada kejayaan persidangan WIPKL 2015 bertemakan Menggalakkan Perwakilan Menerusi Ketersambungan dan Inovasi yang telah disertai wakil-wakil dari negara ASEAN, negara pemerhati dan wakil kedutaan luar negara serta badan-badan politik dan korporat di Malaysia.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga akan melancarkan buku ‘Srikandi Ibu Terbaik Bangsa’ yang diterbitkan oleh Wanita UMNO.
Nor Hayati yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Selangor menambah, pihaknya juga mengalu-alukan kehadiran orang ramai yang berminat untuk menyertai sesi persidangan yang sama.
“Penyertaan luar sangat digalakkan kerana penganjuran persidangan ini sebenarnya bagi memberi manfaat kepada semua orang terutamanya wanita di negara ini.
“Panel jemputan dalam persidangan ini terdiri daripada golongan yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang masing-masing. Kami yakin barisan panel yang dipilih mampu memberi impak yang besar kepada mereka yang hadir terutama wanita,” ujarnya.- MalaysiaGazette