MAHARASTRA, India – Sakit perut kronik seorang wanita warga emas selama hampir 15 tahun lamanya akhirnya terjawab apabila doktor menemui ‘bayi bertukar batu’ dalam perutnya di Nagpur, barat Maharastra, India baru-baru ini.
Daily Mail melaporkan, wanita yang enggan dikenali itu pernah melakukan pengguguran bayi 15 tahun lepas di sebuah klinik di perkampungan terpencil di Nagpur kerana tidak mendapat restu keluarga untuk beranak lagi.
Bagaimanapun, menurut wanita itu, doktor yang melakukan pengguguran tersebut mendakwa proses tersebut telah berjalan dengan lancar dan tidak perlu risau tentang apa-apa.
Bagaimanapun, wanita tersebut yang kini berusia 56 tahun mendakwa, sejak insiden tersebut, dia sering mengalami sakit perut yang kronik sehingga menyebabkan dirinya terlantar saban hari selain daripada muntah apa sahaja yang dimakan sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, setiap kali sakit, dia hanya akan diberikan ubat-ubatan berbentuk tahan sakit sahaja, malah wanita itu juga telah cuba berubat secara tradisional beberapa kali.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa sehingga baru-baru ini keluarga saya merawat saya di sebuah hospital swasta di Nagpur. Saya sangat terkejut apabila doktor menjumpai bayi yang sudah lama mati dalam perut saya.
“Saya terpaksa melalui mimpi ngeri dengan melakukan pembedahan selama hampir dua jam setengah bagi mengeluarkan janin itu dari dalam perut. Saya berasa sangat terkilan dan sedih,” katanya.
Dalam pada, pakar bedah laparoskopi dari Hospital Junankar, Dr Nilesh Junankar berkata, ketika melakukan pemeriksaan imbasan CT-Scan, beliau mendapati ada halangan dalam ususnya sehingga menghalang sistem pencernaan.
“Imbasannya menunjukkan halangan usus, penyumbatan dalam paip makanannya, ada batu pada tengah-tengahnya. Kami sangat terkejut kerana ini merupakan kes pertama seumpama ini buat kami.
“Disebabkan laporan yang luar biasa ini, laparoskopi telah dilakukan dan kami terkejut kerana menjumpai bayi berusia empat bulan di bahagian perut. Kami sangat terkejut. Ia sangat jarang berlaku.
“Kami memanggilnya ianya ‘Lithopedion’ atau dalam bahasa mudah, bayi batu. Kes ini sangat jarang sekali berlaku, setakat ini hanya 300 kes dilaporkan seluruh dunia. Si ibu tidak akan perasan wujudnya bayi itu kerana tidak melakukan proses sonografi,” katanya.
Lithopedion boleh berlaku akibat dari kehamilan ektopik atau kehamilan di mana janin berkembang di luar rahim ibu.
Apabila ini berlaku, janin yang sudah mati tidak mempunyai cara untuk meninggalkan badan.