KUALA LUMPUR – MIC terutamanya sayap Pemuda parti itu diberi kata dua supaya berhenti ‘mempolitikkan’ isu kerusi P078, Cameron Highlands dan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberikan kata putus calon yang akan bertanding di situ pada PRU-14.
Setiausaha Pemuda MyPPP, R. Jayaselan berkata, pihaknya sudah ‘bosan dan muak’ dengan tindak tanduk Pemuda MIC yang diterajui oleh Datuk C. Sivarraajh merangkap Penyelaras Cameron Highland kerana menganggapnya biadap dan banyak melontarkan fitnah.
“Kenyataan Setiausaha Pemuda MIC, Arvind dalam portal MalaysiaGazette baru-baru amat dikesali kerana ianya sangat biadap dan tidak boleh diterima. Belajar untuk menghormati seseorang yang jauh lebih tua dan paling penting, pengalaman serta jasa beliau mungkin lama dari usia anda.
“Saya bersama warga MyPPP yang lain menyeru supaya beliau menarik kembali kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada Presiden kami, Tan Sri M.Kavyeas dengan serta merta.
“Selama ini, Kavyeas telah banyak bersabar dan mendiamkan diri melihat MIC ‘bermaharajalela’ di Cameron Highlands, tolong cermin diri dan tengok kelemahan serta kekurangan dalam parti anda sendiri yang banyak sangat kepincangan.
“MIC juga yang bertindak memecat bekas presiden merangkap penyandang kerusi Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel sekaligus menjadikan kerusi itu bebas. Lupakah anda? Selama tiga tahun kebelakangan ini, Kavyeas yang banyak berjasa dan berkempen selain daripada menjaga kebajikan masyarakat Cameron Highlands, bukannya MIC atau Sivarraajh,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Jayaselan juga mendakwa, program yang dijalankan oleh Sivarraajh sebenarnya banyak ‘meniru’ Kavyeas yang sudah lama melaksanakan serta merancang aktiviti masyarakat setempat.
“Saudara Arvind, tepuk dada tanya selera. Adakah Sivarraajh tidak meniru program yang telah dilaksanakan dan juga telah dijayakan oleh Kavyeas sebelum ianya ditiru kembali. Kita juga tahu jumlah sebenar pengundi India yang hadir Majlis Rumah Terbuka MIC di Cameron Highlands.
“Kalau nak cakap, kita ada banyak isu dan perkara yang boleh kami debatkan namun kerana semangat setiakawan yang tinggi komponen BN, kami enggan melakukan sedemikian.
“Ketika ini, MyPPP telah berjaya mendaftarkan 5000 pengundi yang rata-ratanya adalah penyokong tegar MyPPP, ini sekaligus bakal membawa kemenangan besar kepada BN pada PRU akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jayaselan mahu semua pihak bersabar dan tunggu sahaja keputusan yang akan diputuskan oleh Najib yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional.
“Perdana Menteri mahu calon yang bukan sahaja disegani oleh penduduk setempat malah perlu juga memiliki kredibiliti tinggi serta ‘winnable’ dari semua segi.
“MIC hanya rasa tergugat dengan Kavyeas sehingga tidak habis-habis melontarkan pelbagai fitnah serta hasutan. Kami langsung tidak berasa takut dan yakin dengan kebolehan kami dalam membawa kemenangan kepada BN” tegasnya. – MalaysiaGazette