KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kavyeas seolah-olah tidak henti dihujani ‘bahan’ kritikan pembangkang dan rakan komponen Barisan Nasional (BN) ekoran perebutan kerusi Parlimen P078, Cameron Highlands.
Bagaimanapun, tindakan itu tidak berapa disenangi oleh segelintir pemimpin BN terutamanya ahli parti MyPPP yang merasakan beliau bukan sahaja antara yang layak dijadikan calon ‘winnable’ malah jasa beliau yang telah lama bergelumang dalam dunia politik harus di hargai.
Naib Presiden MyPPP, Datuk Seri M. Ghandi berkata, segelintir pemimpin MIC dan MCA tidak menghormati Kavyeas yang sudah hampir tiga dekad menjadi pemimpin dalam komponen BN sekaligus antara yang pernah bekerja di bawah tiga Perdana Menteri selama ini.
Menurutnya, dengan melabel pelbagai macam kritikan serta tohmahan dari mulut rakan komponen terutamanya yang baru sahaja ‘berjinak’ dalam dunia politik, tindakan itu langsung tidak boleh diterima.
“Yang bercakap dan mengkritik Kavyeas rata-ratanya sebenarnya baru ‘setahun jagung’ dalam arena politik. Ketika Kavyeas sedang bertungkus lumus untuk kemenangan BN, anda mungkin masih dalam ‘lampin’ anda.
“Sekurang-kurangnya kalau ada wibawa untuk bercakap, tidak apa lagi. Usia anda bersamaan dengan pengalaman politik Kavyeas yang sudah lama berjasa demi dan untuk BN. Kavyeas sendiri lebih lama dalam politik jika hendak dibandingkan dengan Presiden MIC atau MCA kini.
“Sedarlah dan cermin diri anda terlebih dahulu sebelum bercakap sesuka hati, jangan terlampau ‘gelojoh’ dengan kuasa sehingga membutakan mata anda. Ingat, pembangkang sedang melihat kita berbalah,” katanya hari ini.
Kerusi Parlimen Cameron Highlands terus menjadi perbalahan antara MIC dan MyPPP kerana ianya bukan sahaja dianggap kerusi ‘selamat’ malah Cameron Highlands juga antara kerusi tradisi MIC yang pernah dimenangi oleh penyandangnya juga dari MIC.
Menurut Gandi, tindakan segelintir pemimpin muda yang sesuka hati mengeluarkan kenyataan biadap adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima pakai.
“Siapa anda untuk berkata demikian? Anda langsung tiada hak atau kuasa. Apakah jenis sumbangan serta jasa yang telah anda lakukan berbanding Kavyeas sehingga kini?
“Saya mohon kepada pemimpin tertinggi dalam MIC dan MCA supaya menegur ahli parti anda daripada terus mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati dan menyakitkan hati ramai pihak. Cukup cukuplah,” tegasnya.
Dalam pada itu, Gandhi turut menyeru kepada pemimpin tertinggi komponen BN supaya tidak sesekali menyisihkan Kavyeas kerana beliau yakin kerusi Cameron Highlands boleh dimenangi olehnya kerana diterima pengundi sejak tiga tahun dahulu.
“Tolong dengar kata hati Kavyeas dan pengundi di Cameron Highlands itu sendiri. Kita perlu menang kerusi ini, kemenangan ini adalah untuk BN sendiri.
“Datuk Seri Najib Razak, adakah permintaan MyPPP dan Kavyeas sesuatu yang besar? Apatah lagi beliau telah lama menabur jasa kepada BN? Kesetiaan beliau tidak berbelah bahagi sehingga kini.
“Beliau telah siang malam mendedikasikan dirinya hanya untuk kepentingan dan kemenangan BN selama berpuluh tahun tanpa kenal erti penat. Beliau juga bukan sehari dua di Cameron Highlands sebaliknya telah lama memenangi hati pengundi di sana,” katanya. – MalaysiaGazette