KUALA LUMPUR – Entah ‘drama’ apa yang cuba dimainkan apabila pelakon Izreen Azminda dikatakan akan membuat pengumuman khas mengenai status perkahwinannya yang dikatakan sudah menamat zaman jandanya.
Lebih kelakar, dia hanya akan memanggil media tertentu sahaja pada sidang media itu untuk mengumumkan dia akan berkahwin tidak lama lagi.
Peliknya sebelum ini ketika hendak umum drama baharu atau jadi duta produk, boleh pula panggil semua media.
Namun ‘drama’ Izreen terkantoi kerana aktres itu rupa-rupanya telah berkahwin dengan pemuzik bebas rancangan Gegar Vaganza pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, pemuzik itu yang dikenali sebagai Uda atau nama sebenarnya Muhammad Radzi Wahid, 29, merupakan suami orang yang sudah beranak dua.
Dalam satu rakaman langsung oleh sebuah akhbar dalam talian semalam, isteri kepada pemuzik itu, Intan Liana Salih, 30, menerima seorang pelakon sebagai madunya dan ia dipercayai Izreen.
Wanita itu mendakwa dia mengetahui suaminya telah berkahwin dengan wanita berkenaan dua minggu lalu dan dia reda dengan keputusan suaminya untuk berpoligami.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu perkara ini pada dua minggu lalu dan tidak sangka kerana hubungan kami baik sebagai suami isteri.
“Pada mulanya saya tidak terima namun disebabkan kasih sayang kepada suami dan anak, saya reda dan terima takdir yang telah ditentukan,” kata Intan tanpa menyebut nama siapa wanita berkenaan.
Rumah tangga Intan dan Uda dibina empat tahun lalu. Mereka dikurniakan dua cahaya mata masing-masing berusia tiga tahun dan 11 bulan.
Dalam pada itu, Intan tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku ini berpunca daripada kekurangan dirinya sebagai seorang isteri.
“Dia suami yang baik. Kalau bab anak-anak, dia bertanggungjawab. Saya yakin dia mampu untuk berlaku adil.
“Susah nak terima. Mungkin salah saya, tak pandai jaga suami,” ujarnya.
Izreen, 32, yang merupakan ibu tunggal pernah berkahwin dengan juru kamera iaitu Muhammad Riza pada 2012 dan berpisah 2014.
Mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun hasil perkahwinan itu. – MalaysiaGazette