Home Politik Kenapa pembangkang nak melenting bila anak saudara Azmin ditahan?

Kenapa pembangkang nak melenting bila anak saudara Azmin ditahan?

Empat individu yang memakai baju tahanan lokap SPRM termasuk anak saudara kepada seorang Menteri Besar dipercayai terlibat melindungi kegiatan lombong pasir haram dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 30 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pembangkang tidak wajar melenting dan mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anak suadara Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

Mohd Puad Zarkashi

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hairan dengan sikap pembangkang yang meloncat mempertikaikan penyebaran kes tangkapan anak saudara pemimpin kanan PKR itu.

“Kenapa nak dipertikaikan jika kes tersebut tersebar kepada orang awam?

“Apa bezanya dengan pihak lain, khususnya UMNO dan kerajaan yang ditangkap rasuah, pihak pembangkang sendiri turut menyebar luaskan perkara itu ke pengetahuan umum.

“Malah bukan setakat itu sahaja, mereka juga turut memberikan pelbagai tafsiran dan andaian yang tidak berasas. Sedangkan mereka hanya disoal siasat dan belum dijatuhkan hukuman bersalah,” Puad dipetik berkata.

Puad juga berkata pembangkang tidak sepatutnya membuat tuduhan kononnya tangkapan itu merupakan satu konspirasi untuk menjatuhkan Azmin kerana SPRM sudah pasti memiliki bukti kukuh sebelum melakukan penahanan tersebut.

“Sepatutnya pihak pembangkang tidak boleh bising dalam isu ini jika sekiranya individu yang ditahan itu melibatkan pihak mereka.

“Dan mereka juga janganlah mendakwa wujudnya sebarang konspirasi kononnya untuk menjatuhkan Menteri Besar dan sebagainya untuk mengaburi mata rakyat, kerana tindakan SPRM itu adalah berdasarkan siasatan yang saya percaya telah dijalankan berbulan atau bertahun sebelum mereka bertindak,” katanya lagi.

Mahkamah majistret semalam telah membenarkan penahanan reman selama tujuh hari terhadap seorang anak saudara Azmin dan tiga individu lain atas tuduhan rasuah melibatkan projek perlombongan pasir.

Keempat individu itu disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B) kerana memberi suapan berhubung projek lombong pasir pada tahun 2014 dan membekukan beberapa akaun syarikat yang bernilai sehingga RM4 juta. – MalaysiaGazette