Home Utama Tular air Tasik Kenyir dilepaskan adalah palsu

Tular air Tasik Kenyir dilepaskan adalah palsu

KUALA BERANG – Maklumat tular di media sosial menyatakan siren kecemasan dibunyikan di Tasik Kenyir bagi tujuan pelepasan air adalah tidak benar sama sekali.

Ketua Polis Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud yang menafikan perkara itu meminta orang ramai tidak mudah cemas dengan berita tersebut dan dikehendaki merujuk isu mengenai bencana melalui agensi terlibat.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata, paras air di Tasik Kenyir ketika ini masih berada di tahap minimum, iaitu paras semasa 137.81m.

Mengikut rekod Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM), bagi menentukan paras limpah, air akan berada di tahap melebihi 145m, paras amaran melebihi 150m dan paras kecemasan melebihi 153m.

Hari ini tular di laman sosial Facebook menerusi akaun “Pasir Puteh Today” yang mendakwa pintu pelepasan air akan dibuka kerana 3 kali siren dibunyikan dan meminta orang ramai berjaga-jaga.

“Sebenarnya tiada isu banjir berpunca daripada pelepasan air Tasik Kenyir kerana tiada sebarang pintu yang boleh dibuka atau ditutup, kecuali pelepasan air yang dibuat untuk menjana turbin penjana elektrik dan jumlah pelepasan ini berjalan sepanjang tahun.

“Jumlah air yang dilepaskan hanya minimum untuk keperluan jana elektrik.

“Sekiranya tahap air tasik terlalu tinggi, ianya akan melimpah secara semula jadi melalui salur limpah bersebelahan stesen empangan. Hal ini jarang berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, menurut Adli, sistem siren kecemasan adalah sistem yang dipasang di kawasan Kampung Jenagor untuk amaran awal bencana melibatkan situasi teknikal ke atas empangan dan sistem tersebut hanya boleh dihidupkan dengan arahan pegawai daerah dan ketua polis daerah.

Bagi mengekang sikap tidak bertanggungjawap itu berulang, beliau memberi amaran kepada mereka yang terlibat supaya menghentikannya jika tidak mahu pihak berwajib mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Perbuatan membuat, menyebar berita tidak benar yang boleh menimbulkan kekacauan dan menjejaskan ketenteraman awam merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh didakwa di mahkamah.”

Empangan Tasik Kenyir yang mula dibuka secara rasmi pada 1987 berfungsi sebagai pusat tadahan air tawar, penampan untuk kawalan banjir dan penjanaan elektrik. – Bernama