Home Uncategorized Zahid sahkan syor RCI Forex perlu disiasat

Zahid sahkan syor RCI Forex perlu disiasat

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) bercakap kepada media pada Perasmian Program Hari Terbuka Masjid Utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Dataran Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 01 DISEMBER 2017

PUTRAJAYA – Walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia tidak mempunyai kuasa, namun syor serta rumusan badan itu perlu diambil kira dalam siasatan pihak polis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa untuk menyiasat skandal itu mengikut perundangan.

“Biarpun RCI ini tidak mempunyai kuasa perundangan tetapi dapatan kajian ini telah memberikan pengesyoran agar siasatan mengikut perundangan harus dilakukan.

“Mereka mencadangkan beberapa personaliti yang dinamakan dalam laporan itu supaya dilakukan siasatan mengikut undang-undang kanun jenayah atau undang-undang lain yang berkaitannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri merasmikan Karnival Planet Ummah Masjid Utama anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 2017 di Masjid Putra, di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan aplikasi Etikaf pada Perasmian Program Hari Terbuka Masjid Utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diiringi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tiga kiri), Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (dua kiri) dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) di Dataran Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 01 DISEMBER 2017

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Terdahulu Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pasukan khas diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh itu ditubuhkan semalam sejurus laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.

Semalam, Setiausaha RCI mengenai Forex, Datuk Dr Yusof Ismail membuat laporan polis berdasarkan syor dan rumusan RCI mengenai kemungkinan berlaku pecah amanah dan penipuan dalam skandal berkenaan.

Ahmad Zahid juga mengesahkan pasukan khas itu PDRM itu telah ditubuhkan bagi menyiasat syor RCI terbabit dengan syarat satu laporan polis dibuat mengenainya.

“Sebagaimana dinyatakan oleh ketua polis negara, pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial akan melakukan siasatan jika terdapat permintaan secara rasmi.

“Ia mesti ada laporan polis dibuat bagi menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa yang ada pada Jabatan Jenayah Komersial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.