Home Politik Menang dulu baru fikir calon MB – Zahid Hamidi

Menang dulu baru fikir calon MB – Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pada sidang media selepas Kovensyen UMNO Negeri Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 DISEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Lupakan soal siapa calon menteri besar sebelum UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi dan merampas Selangor daripada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sambil menegaskan parti pemerintah lebih mementingkan soal kemenangan terlebih dahulu mengatasi soal calon menteri besar Selangor.

“Kita tidak pernah memikirkan siapa akan jadi menteri besar malah dalam ucapan Tan Sri Noh Omar atas bisikan azimat diberikan, beliau tidak akan pernah berniat untuk menjadi menteri besar Selangor.

Beliau hanya menyediakan kepimpinan bagi memperkasakan UMNO dan BN Selangor. Soal siapa menteri besar setelah kita melepasi jambatan politik selepas PRU14,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bergambar bersama dua bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib (kanan) dan Tan Sri Khalid Ibrahim (kiri) pada sidang media selepas Kovensyen UMNO Negeri Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 02 DISEMBER 2017

Ahmad Zahid juga mengumumkan kehadiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Konvensyen UMNO Selangor hari ini adalah untuk membantu parti itu memenangi PRU14 khususnya di Selangor.

“Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tokoh kembali membantu UMNO Selangor dan UMNO Malaysia bagi mencapai matlamat merampas semula Selangor daripada pihak sekarang (Pakatan Harapan).

“Kita sedar pilihan raya kali ini merupakan pertempuran berat dan kita harus bekerja dengan lebih keras dan bijaksana serta kita kena bekerja bijak,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata lagi, bagi mencapai kemenangan itu, UMNO Selangor perlu mencapain keserasian dalam kepimpinan parti itu sebelum dapat memenangi hati pengundi di Selangor.

“Kita juga mahu UMNO Selangor dan jentera diperkasa dan siap siaga sepenuhnya di samping memenangi hati dan minda pengundi di Selangor supaya isu-isu selama ini menghambat UMNO Selangor dapat diubah persepsinya.

“Ini kerana selama ini atas beberapa isu terdahulu kita terperangkap dengan keputusan yang terlalu mahal harganya yang dibuat oleh mahkamah pendapat umum,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, tindakan UMNO memanggil semula empat bekas menteri besar Selangor tidak wajar dipertikaikan kerana pemimpin yang pernah menyertai pembangkang sebelum ini telahpun sedar kesilapan mereka.

“Walaupun Tan Sri Khalid pernah menjadi menteri besar Selangor, tapi kita tahu hatinya tetap merah dan biru walaupun beliau mewakili parti lain sebelum ini.

“Kita amat menghargai usaha dilakukan oleh Tan Sri Khalid kerana agenda beliau dengan agenda kita sejak dulu hingga sekarang, tapi beliau berada di pentas berbeza dahulu,” katanya lagi – MalaysiaGazette