Home Utama Penahanan anak saudara Azmin tiada konspirasi politik – Zulkifli Ahmad

Penahanan anak saudara Azmin tiada konspirasi politik – Zulkifli Ahmad

Ketua Persuruhjaya Malaysia SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad (tengah) bersama Presiden GRADUAN, Lee Seang Hock (empat kanan) turut serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Shahshun Baharin Mohd Jamil (tiga kanan) bergambar kenangan pada Forum Anti Rasuah dan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Pemimpin Persatuan Graduan Muda Malaysia (GRADUAN) di Auditorium SPRM, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 DISEMBER 2017
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM)menolak dakwaan pembangkang kononnya penahanan anak saudara Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali iaitu Mohd. Nuzul Fadli Mohd Noriyualsaid, 34, pada Khamis lalu sebagai sabotaj politik.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad berkata, dalam hal berkenaan pihaknya telah bertindak secara adil dan profesional tanpa dipengaruhi mana-mana pihak politik.
“Saya nak nyatakan di sini apa apa tindakan yang diambil adalah bersifat profesional, tidak ada sama sekali perkiraan politik (penahanan anak saudara Azmin).
“Tindakan yang SPRM laksanakan adalah berdasarkan maklumat dan apabila maklumat yang diterima ada asas kukuh, maka kita menyiasat kes itu.
“SPRM bebas dari pengaruh dan sabotaj seperti yang dinyatakan pihak di luar,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Terdahulu beliau bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil hadir ke Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah oleh Pemimpin Persatuan Graduan Muda di Auditorium SPRM di sini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik kepada Azmin, Yin Shao Loong yang mendakwa wujud konspirasi dalam penahanan anak saudara Azmin didakwa terlibat urusan pasir secara haram Khamis lalu.
Dalam perkembangan yang sama, beliau meminta semua pihak supaya membiarkan SPRM menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam kes tersebut.
“Siasatan sedang dijalankan dan mereka yang terlibat telah direman (sehingga 6 Disember), biar kami selesai siasat, tunggulah minggu depan apa yang akan berlaku nanti,” tegasnya.
Khamis lalu, SPRM telah menahan empat orang individu termasuk anak saudara Azmin ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan dakwaan terlibat dalam aktiviti perlombongan pasir secara haram di negeri itu.- MalaysiaGazette