SEOUL – Korea Utara mengadakan perayaan besar-besaran, meraikan kejayaan ujian peluru berpandu jarak jauh antara benua (ICBM) yang dilancarkan baru-baru ini, menurut media Pyongyang sambil menuduh Washington “memohon perang nuklear” berikutan latihan tentera yang dirancang bersama-sama sekutunya.
Sempena meraikan kejayaan pelancaran peluru berpandu itu, media harian rasmi Rodong Sinmun melaporkan gambar warna-warni yang menunjukkan beribu-ribu tentera dan orang ramai dengan penuh sesak bertepuk tangan di dataran Kim Il-Sung, Pyongyang yang dihiasi dengan potret besar para pemimpin Korea Utara.
“Kami dengan bangga meraikan kejayaan ujian Hwasong-15 yang menunjukkan kuasa dan kekuatan Korea Utara pada dunia,” antara tulisan yang dipaparkan pada kain rentang – menggambarkan kejayaan pelancaran peluru berpandu itu pada Rabu lalu.
Korea Utara telah berjaya menguji peluru berpandu balistik antara benua baru, dengan pemimpin Kim Jong-Un mengisytiharkan negaranya kini telah mencapai status nuklear sepenuhnya.
Amerika Syarikat, sebagai tindak balas memberi amaran bahawa rejim Kim Jong-Un akan “dimusnahkan sepenuhnya” jika senjata api nuklear jarak jauhnya menimbulkan pertembungan tentera.
Washington terus mempertahankan supaya mengekalkan perpaduan antarabangsa dalam menghadapi ancaman nuklear Korea Utara selepas Rusia memberi amaran bahawa langkah sekatan telah gagal.
Perbincangan selanjutnya pula mengenai langkah sekatan minyak ke atas Pyongyang oleh China.
Menteri Luar Negeri Rusia, Sergei Lavrov pula mengulangi kutukan negara tersebut tentang ujian peluru berpandu itu.
Bagaimanapun, beliau berkata: “Ia adalah mustahil bagi kita untuk tidak mengecam provokasi oleh rakan-rakan Amerika Syarikat dan kita akan menyesal kerana Jepun dan Korea Selatan telah terlibat sama. Ini kerana mereka yang akan menjadi mangsa jika perang bermula di Semenanjung Korea”.
Ketegangan dijangka meningkat lagi pada minggu depan apabila Korea Selatan dan Amerika Syarikat melancarkan latihan tentera udara secara besar-besaran dengan menggerakkan kira-kira 230 pesawat termasuk enam jet tempur jet Stealth F-22 Raptor AS. – MalaysoaGazette