KUALA LUMPUR – Raptai penuh perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pagi ini berjalan lancar menjelang hari pembukaannya pada Selasa.
Raptai bermula seawal 7.30 pagi di bawah pemantauan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu dimulakan dengan acara perbarisan yang melibatkan 150 anggota sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri parti berusia 71 tahun itu.
Acara juga diteruskan dengan upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Selain raptai perbarisan di luar dewan, raptai juga akan diadakan bagi majlis di dalam dewan yang melibatkan persidangan ketiga-tiga sayap pergerakan UMNO dan perasmian perhimpunan agung di Dewan Merdeka, PWTC.
Sementara itu, Abd Rauf ketika ditemui pemberita selepas majlis raptai itu berkata raptai hari ini merupakan antara persediaan terakhir sebelum perasmian perhimpunan agung itu.
“Secara keseluruhannya persediaan berjalan lancar, tidak banyak perubahan cuma semua ruang yang sebelum ini tidak dihiasi seperti di koridor berhampiran Dewan Tun Dr Ismail dan Tun Hussein Onn akan dihias dengan gambar-gambar kejayaan UMNO dalam membina sebuah negara,” katanya.
Perhimpunan agung itu akan berlangsung bermula 5 hingga 9 Dis ini di PWTC dengan 5,739 perwakilan dijadualkan menghadiri perhimpunan itu.- BERNAMA