Beliau berkata ini termasuklah dengan memastikan pendidikan dan kemahiran yang betul disediakan untuk mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah penting dalam melahirkan tenaga kerja muda yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing,
“Inilah sebabnya mengapa semua institusi TVET Malaysia di tujuh kementerian sedang digabungkan untuk menjadi TVET Malaysia di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia,” kata Najib semasa merasmikan Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLIYD2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Perdana Menteri juga bercakap tentang perlunya mengambil pendekatan yang lebih holistik terhadap isu-isu yang mungkin memberi kesan kepada golongan muda.
“Sebagai contoh, sejak sekian lamanya kami berusaha gigih untuk menangani penagihan dadah. Tetapi kabinet saya mengakui bahawa pendekatan sedemikian mungkin bukanlah cara yang paling berkesan,”kata beliau.
Najib berkata ‘Agenda Sosial’ yang mahu diperkenalkan kerajaan akan melihat kepada usaha menyelesaikan masalah penagihan dadah menerusi penyertaan.
Beliau berkata ini akan memastikan golongan muda mempunyai pekerjaan supaya mereka mahu menjalani kehidupan berbanding mengejar eskapisme yang menghancurkan kehidupan.
“Daripada mengasingkan penagih, kita perlu menyatukan mereka. Kita perlu memberi peluang kepada mereka,” katanya pada majlis itu yang dianjurkan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung dari 5 hingga 9 Dis ini.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga membelanjakan hampir RM13 bilion untuk membantu golongan muda memiliki rumah mampu milik dan menyelesaikan isu perumahan terutamanya di kawasan bandar.
“Ini adalah antara beberapa dasar yang kita buat untuk menangani cabaran dalam mewujudkan masa depan yang lebih terjamin bagi golongan muda Malaysia,” kata beliau sambil memberitahu bahawa kerajaan juga banyak berunding dalam merumuskan agenda Transformasi Negara 2050 (TN50).- BERNAMA